KUALA LUMPUR City FC (KL City) menempah tiket ke suku akhir Piala FA selepas menyingkirkan Perak FA dengan kemenangan agregat 1-0 dalam pusingan 16 terbaik.
Keputusan itu diraih selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi timbal balik di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Walaupun gagal menambah jaringan, keputusan seri sudah memadai buat skuad The City Boys meneruskan pemburuan trofi yang pernah mereka menangi sebanyak tiga kali sebelum ini.
KL City membawa kelebihan satu gol dari perlawanan pertama di Manjung pada 1 September lalu, hasil jaringan pemain import mereka, Paulo Josue.
Kelebihan itu menjadi semakin penting apabila barisan kendalian Datuk Dollah Salleh berjaya mengekang asakan Perak dalam perlawanan kedua untuk memastikan kelebihan agregat kekal sehingga wisel penamat.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun tidak mengambil pendekatan bertahan semata-mata apabila masing-masing cuba mencipta peluang dan mencari gol pembukaan seawal babak pertama.
Namun, usaha mereka tidak membuahkan hasil apabila barisan pertahanan kedua-dua pasukan tampil berdisiplin untuk mematahkan beberapa gerakan serangan yang dilancarkan.
Situasi sama berterusan selepas rehat apabila KL City dan Perak FA terus berusaha mengubah kedudukan, namun ketumpulan penyudah serta kekentalan pertahanan menyaksikan jaringan tidak terhasil.
KL City akhirnya berjaya mempertahankan kelebihan tipis yang dimiliki dari aksi pertama untuk memastikan mereka kekal dalam persaingan merebut kejuaraan Piala FA musim ini.
Kemenangan itu turut memberi suntikan moral kepada The City Boys menjelang aksi suku akhir, dengan lawan mereka akan ditentukan daripada pertemuan antara Terengganu FC dan Brunei DPMM FC.