KUALA LUMPUR - UMNO Melaka perlu bersedia mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO seluruh negara bersedia untuk menggerakkan segala kekuatan bagi membantu jentera parti di negeri tersebut.
“PRN Melaka akan diadakan bila-bila masa. Terpulanglah kepada Datuk Rauf (Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh).
"Jangan tunggu lama-lama. Nanti lama-lama, diambil orang (dalam nada seloroh).
“Datuk Rauf, kami telah bersedia. Kami (UMNO seluruh negara) akan datang membantu Melaka. Buat elok-elok, pakat elok-elok. Muafakat biar bulat, berunding jangan selisih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Ucapan Perasmian Serentak Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bagi Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO bertempat di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Rabu.
Mohamad memaklumkan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mengekalkan momentum kejayaan di negeri-negeri bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pula.
Terdahulu, Ab Rauf memberi bayangan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mungkin dibuat dalam tempoh ‘dua kali Jumaat’ lagi.
Ab Rauf ketika ditemui pemberita selepas perasmian serentak PAU 2026 memaklumkan, pihaknya mengalu-alukan sebarang rundingan termasuk selepas DUN Melaka dibubarkan.
TAMAT