[VIDEO] Bayar RM200, RM250 untuk salinan MyKad palsu demi cari kerja

Iklan

PELABUHAN KLANG – “Saya datang cuma mahu cari wang. Saya tidak tahu apa yang saya lakukan ini satu kesalahan.”

Demikian alasan diberikan seorang wanita warga Indonesia yang ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan milik individu lain dalam Ops Layar di sebuah kilang percetakan di Bandar Sultan Suleiman, di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Wanita yang dikenali sebagai Lifa, 37, dari Sulawesi, Indonesia mendakwa membayar kira-kira RM200 bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri tersebut untuk memudahkannya memperoleh pekerjaan di Malaysia.

Ops Layar dilaksanakan selepas pihaknya menjalankan risikan selama sebulan bagi mengesan individu yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Iklan

Menurutnya, dia memasuki negara ini melalui laluan tidak sah pada Jun lalu sebelum bekerja di premis berkenaan dengan menerima gaji secara tunai.

“Saya beri gambar kepada pihak yang menyediakan dokumen itu dan mereka menggantikan gambar asal dengan gambar saya pada kad pengenalan tersebut.

Iklan

“Saya hanya menggunakan salinan kad pengenalan itu untuk mencari kerja. Saya cuma mahu mencari wang dan tidak tahu perbuatan ini merupakan satu kesalahan,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi tersebut.

Seorang lagi wanita Indonesia, Rini, 37, dari Jawa Barat, turut ditahan selepas dipercayai menggunakan salinan kad pengenalan palsu bagi mendapatkan pekerjaan.

Menurutnya, dia membayar kira-kira RM250 kepada seorang individu yang diperkenalkan oleh rakan senegaranya untuk mendapatkan dokumen berkenaan.

“Saya pernah bekerja di kedai runcit sebelum ini sebelum bekerja di kilang percetakan ini dengan bayaran harian sekitar RM95.

“Saya pernah diusir dari Malaysia dan pasport saya turut disenarai hitam. Namun, saya masuk semula melalui laluan tidak sah dengan bayaran kira-kira enam juta rupiah,” katanya.

Rini berkata, salinan kad pengenalan palsu itu digunakan semata-mata bagi memudahkannya mendapatkan pekerjaan.

Mazhad Abdul Aziz

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mazhad Abdul Aziz berkata, Ops Layar dilaksanakan selepas pihaknya menjalankan risikan selama sebulan bagi mengesan individu yang disyaki menyalahgunakan dokumen pengenalan diri.

Menurut beliau, operasi tersebut melibatkan 67 anggota terdiri daripada pegawai JPN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Operasi ini melibatkan 52 anggota JPN dari Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur, 10 anggota JIM Putrajaya serta lima anggota JTK Selangor.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 195 individu diperiksa, termasuk 63 warganegara Malaysia yang memiliki kad pengenalan sah,” katanya.

Mazhad berkata, tiga wanita berusia antara 21 hingga 37 tahun yang dipercayai warga Indonesia ditahan kerana disyaki menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau milik individu lain bagi tujuan mendapatkan pekerjaan.

Operasi ini melibatkan 67 anggota terdiri daripada 52 anggota JPN dari Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur, 10 anggota JIM Putrajaya serta 5 anggota JTK Selangor.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, secara keseluruhan JPN telah melaksanakan 738 operasi penguatkuasaan dari Januari hingga 31 Ogos lalu dengan 365 tangkapan dan pendakwaan direkodkan.

“Daripada jumlah tersebut, 286 kes melibatkan kesalahan berkaitan penggunaan kad pengenalan palsu atau milik orang lain di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Sebanyak 79 kes lagi membabitkan penggunaan sijil kelahiran palsu di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya.

Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen Malaysia turut memeriksa 129 individu dan menahan enam orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.