APABILA berlakunya kes pelanggaran integriti atau salah guna kuasa, persoalan yang sering berlegar di minda rakyat adalah"Adakah mereka tidak tahu perbuatan itu salah?"
Sebagai individu yang memegang amanah besar dan terdedah kepada sistem pentadbiran negara, persoalan mengenai sejauh mana tahap pengetahuan sebenar ahli politik mengenai rasuah sentiasa menjadi persoalan umum.
Di sinilah wujudnya satu isu penting yang perlu kita fahami bersama iaitu soal 'pengetahuan'. Adakah krisis integriti yang berlaku berpunca daripada kelemahan literasi dan kejahilan tentang undang-undang?
Ataupun wujud faktor-faktor lain yang lebih mendalam apabila mereka berdepan dengan realiti dunia politik? Kita perlu merungkai sama ada pemahaman dari segi teori semata-mata sudah cukup untuk menjamin integriti seseorang pemimpin.
Bagi menjawab persoalan ini secara objektif, sebuah kajian akademik dalam jurnal Akademika telah diterbitkan untuk menilai 'Indeks Integriti dan Anti Rasuah Ahli Politik'.
Melalui siri temu bual bersama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pakar, dapatan kajian merumuskan bahawa kepincangan integriti dalam kalangan ahli politik secara umumnya bukanlah berpunca daripada kejahilan mereka terhadap undang-undang atau prinsip etika.
Pada asasnya, sebagai penggubal dasar, mereka mempunyai ruang, akses dan kesedaran mengenai peruntukan undang-undang seperti Akta SPRM 2009 serta panduan asas agama yang melarang perbuatan memakan harta secara batil.
Jika isu ini tidak berpunca daripada kejahilan, apakah makna sebenar di sebalik rumusan kajian ini?
Ia membawa pengertian bahawa mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi tidak secara automatik menjamin tingkah laku yang berintegriti jika ia tidak disusuli dengan keupayaan untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Kajian tersebut juga mendapati bahawa cabaran sebenar ahli politik adalah kesukaran atau kegagalan untuk mengamalkan apa yang telah diketahui apabila mereka berhadapan dengan tekanan politik, budaya persekitaran serta kelemahan sistem penguatkuasaan.
Malah, kajian turut mencatatkan pemerhatian informan dalam penulisan kajian ini bahawa wujud situasi di mana rasionalisasi berlaku, seperti percubaan untuk menggunakan alasan teknikal bagi menutup sumbangan tertentu atas nama kebajikan demi kelangsungan kerjaya politik.
Jelaslah bahawa ilmu di dada sering kali teruji dengan hebat apabila bertembung dengan tekanan realiti.
Malah paling utama adalah sikap individu itu sendiri iaitu perasaan tamak, ditambah dengan adanya kuasa.
Bagi merapatkan jurang antara pengetahuan teori dan amalan praktikal ini, usaha pencegahan tidak boleh bersifat sehala.
Kajian menyarankan agar pendidikan dan literasi tidak hanya memfokuskan kepada fakta undang-undang, tetapi perlu diseimbangkan dengan pembinaan kekuatan spiritual dan nilai murni sebagai benteng dalaman individu.
Dari sudut tadbir urus pula, pembaharuan institusi perlu dilaksanakan dengan mewajibkan ketelusan kewangan, seperti mendedahkan akaun parti politik kepada umum untuk diaudit secara bebas.
Langkah ini dapat membantu melindungi ahli politik daripada terjebak ke dalam ruang kelabu yang mengelirukan antara sumbangan dan rasuah.
Kesimpulannya, dalam mengukur kualiti seorang pemimpin, kita tidak boleh sekadar berpuas hati dengan melihat kelulusan akademik atau kepetahan mereka membicarakan soal undang-undang di pentas awam.
Pengetahuan asas hanyalah langkah pertama dalam perjalanan yang panjang. Sebagai masyarakat awam yang prihatin, marilah kita menilai tahap integriti wakil rakyat kita berdasarkan keteguhan dan keberanian mereka menterjemahkan kefahaman tersebut kepada urus tadbir yang telus, bersih, dan berakauntabiliti dalam kehidupan dunia yang sebenar.
*Dr Khadijah Muda ialah Penyelaras Kualiti Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia