KUALA LUMPUR - Saman yang difailkan Tan Sri Shahrir Samad terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, agensi antirasuah itu dan kerajaan Malaysia berhubung isu pendakwaan berniat jahat telah diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Bagaimanapun, saman terhadap Tan Sri Tommy Thomas yang dinamakan sebagai defendan pertama masih belum selesai, dan mahkamah menetapkan 16 Okt depan untuk mendengar permohonan Shahrir bagi kebenaran untuk tidak meneruskan tindakan berkenaan terhadap bekas Peguam Negara itu.
Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Shahrir, memaklumkan Hakim Gan Techiong bahawa anak guamnya telah mencapai penyelesaian dengan defendan kedua, ketiga dan keempat.
"Justeru, kami menarik balik saman ini tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula dan tanpa perintah mengenai kos... Kesemua pihak juga telah bersetuju bahawa tiada kenyataan akan dikeluarkan berhubung saman ini.
"Bagi defendan pertama (Thomas), kami akan memfailkan permohonan kebenaran di bawah Aturan 21 Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk tidak meneruskan saman itu," katanya.
Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom, yang hadir bagi pihak ketiga-tiga defendan, mengesahkan perkara itu.
Techiong kemudian memerintahkan agar saman Shahrir terhadap Latheefa, SPRM serta kerajaan dibatalkan tanpa kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.
Mahkamah turut mengarahkan Shahrir memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk tidak meneruskan saman terhadap Thomas dalam tempoh seminggu, dan menetapkan 16 Okt ini untuk mendengar permohonan itu.
Shahrir dan Thomas hadir pada prosiding hari ini.
Pada Isnin lepas, mahkamah menangguhkan pendengaran kes itu sehingga hari ini bagi membolehkan pihak-pihak terbabit meneruskan perbincangan mengenai kemungkinan mencapai penyelesaian.
Shahrir dijadual meneruskan sesi pemeriksaan balas oleh peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu telah memfailkan saman berkenaan terhadap keempat-empat defendan pada Disember 2023 berhubung isu pendakwaan berniat jahat.
Saman itu berpunca daripada cek bernilai RM1 juta yang diterima oleh Shahrir daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.
Pada 2020, Shahrir didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan sebanyak RM1 juta yang didakwa diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Pada 5 Januari 2023, Mahkamah Tinggi membebaskan Shahrir daripada pertuduhan itu selepas pendakwaan memaklumkan tidak berhasrat untuk meneruskan kes berkenaan.
Thomas, yang berkhidmat sebagai Peguam Negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020, menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa, dan menyifatkan ia sebagai"tidak dapat dipertahankan".
Thomas menegaskan bahawa beliau meletak jawatan sebagai Peguam Negara pada 28 Februari 2020 manakala perbicaraan kes jenayah Shahrir hanya bermula pada 26 Julai 2022. - Bernama