KULAI - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang remaja perempuan dan cubaan membunuh empat individu lain, bulan lalu.
Tertuduh, Choo De Hui, 26, faham terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret R Salini.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, De Hui melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian ke atas seorang remaja 17 tahun pada 25 Ogos lalu di antara jam 12.20 tengah malam hingga 12.33 tengah malam di Bulatan Persiaran Indahpura 4 di sini.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Dalam kejadian 25 Ogos lalu, remaja perempuan berusia 17 tahun maut selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah Perodua Myvi sebelum dilanggar sebuah Toyota Vellfire.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, mangsa bersama empat penumpang lain menaiki sebuah Myvi dipandu lelaki tempatan berusia 20 tahun dari Jalan Kenanga, Indahpura untuk pulang ke rumah masing-masing selepas makan dan lepak bersama rakan-rakan.
Menurutnya, kereta berkenaan diekori beberapa kenderaan termasuk sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam sebelum dipercayai dilanggar ketika tiba di bulatan terbabit.
Dalam prosiding sama, De Hui didakwa atas empat lagi pertuduhan cubaan membunuh dengan niat ke atas empat individu lain berusia 15 hingga 20 tahun pada tarikh dan waktu sama di Jalan Kiambang 9 serta Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara 10 tahun dan denda, jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada mana-mana orang, hendaklah dipenjara maksimum 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Weng Hong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 2 Disember sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.