PADAWAN - Juadah rendang daging hasil air tangan Debra Moset kini hanya tinggal kenangan selepas jururawat itu disahkan antara lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan Doktor Udara (FDS) berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak pada Selasa.
Memetik laporan Suara Sarawak, adiknya, Morgan Moset, 39, berkata, kepulangan Debra setiap kali musim perayaan atau cuti persekolahan sentiasa membawa kemeriahan kepada keluarga, malah memberi peluang kepada ibu mereka berehat daripada tugas di dapur.
Menurutnya, anak keempat daripada enam beradik itu gemar memasak dan rendang daging menjadi hidangan wajib untuk dinikmati bersama seluruh keluarga terutama ketika menyambut Gawai dan Krismas.
"Kalau buat rendang, dia akan masak banyak untuk keluarga. Rendang dia paling A, sedap makan dengan lemang,” katanya ketika ditemui di sini.
ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara bawa lima penumpang terhempas - CAAM
Nahas helikopter: Status mangsa belum dipastikan, SAR sedang dijalankan – Polis Sarawak
Nahas helikopter: KKM hubungi waris, ahli keluarga mangsa
Nahas helikopter: KKM maklum Dr Ainul meninggal dunia - Keluarga
Residen Miri sahkan semua mangsa helikopter terhempas meninggal dunia
Nahas helikopter: Al-Fatihah buat Kapten Zainol Afiq - Adik ipar mangsa
Nahas helikopter: Ibu Dr Ainul pengsan terima khabar duka - Bapa
'Dr Ainul tak takut naik helikopter, bersemangat kerja di pedalaman'
Nahas helikopter: 'Dr Ainul mahu sambung belajar jadi doktor pakar' - Bapa kongsi perbualan terakhir
Nahas helikopter: 'Saya berdoa semoga Dr Ainul ditempatkan di syurga' - Ibu
Morgan berkata, sehingga kini, dia sukar mempercayai berita bahawa kakaknya merupakan antara mangsa helikopter yang terhempas itu.
Katanya, selagi belum menerima pengesahan, dia masih berharap Debra selamat dan dapat kembali bersama keluarga.
“Susah saya hendak percaya dia antara mangsa dalam helikopter itu.
"Saya masih berharap dia selamat,” katanya.
Mengimbas keperibadian kakaknya, Morgan menyifatkan Debra sebagai seorang yang ceria, suka bergurau dan sentiasa mengambil berat terhadap keluarga.
Katanya, hubungan mereka amat rapat sejak kecil, apatah lagi mereka hanya berbeza usia setahun dan pernah bersekolah bersama.
“Dia kakak yang baik. Kami selalu bergurau dan bertanya khabar.
"Kalau berkumpul, memang banyak kenangan kami bersama,” katanya.
Debra yang menetap di Miri bersama suami dan dua anak, bagaimanapun tidak pernah melupakan keluarga di kampung.
Menurut Morgan, kali terakhir kakaknya pulang ke Kampung Semadang adalah sekitar bulan lalu dan menghabiskan masa lebih seminggu sebelum kembali menjalankan tugas sebagai jururawat.
“Setiap kali dia balik, dia akan masak. Anak-anak dia lebih suka kari, tetapi kalau untuk keluarga, rendang memang mesti ada,” katanya.
Morgan berkata, biarpun kesibukan dan komitmen masing-masing menyebabkan mereka tidak dapat berkumpul sekerap dahulu, Debra tetap menjadi antara ahli keluarga yang kerap menghubungi dan bertanya khabar.
Nahas helikopter BO-105 yang menjalankan perkhidmatan FDS itu mengorbankan lima individu, termasuk Debra, juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham bersama pegawai perubatan, Dr Dr Ainul Baraah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit dan jururawat, Jessie Paya.