Nahas helikopter FDS: KKM tunggu rekod penyelenggaraan pesawat
Iklan
Dzulkefly (tengah) pada sidang media di ibu negara pada Rabu berhubung perkembangan nahas helikopter FDS.
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menunggu rekod lengkap penyelenggaraan helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Ulu Baram, Sarawak pada petang Selasa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sudah meminta pasukannya mendapatkan keseluruhan sejarah penyelenggaraan helikopter berkenaan, namun maklumat itu masih belum diterima.
Iklan
Iklan
“Saya sudah meminta pasukan saya mendapatkan maklumat berkenaan, namun setakat ini saya masih belum menerima rekod tersebut.
“Mereka akan memberikan keseluruhan sejarah penyelenggaraan kerana ia dilakukan secara berkala dan kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.
Iklan
Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram.
KKM pula memaklumkan helikopter yang berlepas dari Miri itu membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) dan dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi selain seorang juruterbang.
Iklan
Dzulkefly berkata demikian ketika ditanya mengenai kali terakhir helikopter terbabit menjalani penyelenggaraan bagi memastikan ia selamat untuk digunakan.
Beliau menjelaskan, penyelenggaraan helikopter berkenaan dilaksanakan oleh syarikat yang dikontrakkan bagi menyediakan perkhidmatan tersebut kepada KKM.
Katanya, kementerian menjangkakan maklumat lengkap mengenai sejarah penyelenggaraan helikopter terbabit dapat diperoleh dalam masa terdekat.
“Kita telah kontrak perkhidmatan itu dan sudah tentu kita mahu aspek keselamatan (terjamin). Saya jangka kita akan mendapat jawapan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Mengulas dakwaan bahawa pesawat itu berada dalam keadaan uzur pula, beliau menegaskan, KKM tidak berkompromi dalam aspek teknikal dan keselamatan, selain setiap helikopter perlu memenuhi kriteria keselamatan tertentu sebelum dibenarkan melakukan penerbangan.
“Perkara yang bersifat teknikal dan keselamatan ini kita tidak kompromi kerana ia tertakluk kepada kriteria tertentu dari sudut keselamatan untuk terbang. Kita tidak berkompromi dalam hal keselamatan kakitangan kami,” katanya lagi.
Dzulkefly turut diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa petugas kesihatan FDS hanya menerima elaun RM30 bagi setiap penerbangan dan sama ada kerajaan bercadang menilai semula kadar berkenaan.
Menurutnya, KKM telah mengemukakan cadangan berkaitan penambahbaikan elaun petugas FDS sejak November 2025 dan kini menunggu keputusan daripada pihak berwajib.
“Antara cadangan yang kami angkat adalah mengenai elaun iaitu pada hujung tahun lalu. Kami yakin akan mendapat satu respons positif daripada pihak yang berwajib dan kita tahu kita perlu memberikan yang sewajarnya,” tambah beliau.
Jelasnya, perkembangan berhubung perkara berkenaan akan dimaklumkan sebaik sahaja keputusan diterima daripada pihak berwajib.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar (Wisma Putra) kepada Jemaah Menteri.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/795540/berita/nasional/jerebu-malaysia-tunggu-pengesahan-indonesia-gerakkan-aset-bantuan---fahmi
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.