KUALA SELANGOR - Taktik mencampurkan dadah ke dalam cecair vape sebelum mengedarkannya kepada pembeli melalui perkhidmatan kurier dibongkar menerusi Op Melanoplus yang membawa kepada rampasan dadah bernilai RM10.82 juta pada 21 Ogos lalu.
Dalam lima serbuan di sekitar Lembah Klang pada 21 Ogos lalu, polis menahan tujuh lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 19 hingga 33 tahun yang dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya memperoleh maklumat risikan berkaitan kegiatan sindiket terbabit.
"Modus operandi sindiket adalah mencampurkan dadah ke dalam cecair vape sebelum mengedarkannya kepada pembeli melalui perkhidmatan kurier," katanya dalam sidang media di Puncak Alam di sini pada Rabu.
Ujar Hussein, antara dadah dirampas ialah 61.26 kilogram (kg) cecair MDMA, 6.09kg bunga ganja, 11.13kg ganja, 3.8kg pil Erimin 5, 3.25kg methamphetamine dan 790 gram pil ekstasi.
"Polis turut merampas 870 gram biskut ganja, 490 gram ketamin, 480 gram serbuk MDMA serta 959 kartrij mengandungi cecair MDMA," katanya.
Hussein berkata, sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak April lalu.
Menurutnya, dadah yang dirampas berpotensi dibekalkan kepada kira-kira 44 juta pengguna sekiranya berjaya diedarkan di pasaran.
"Polis turut menyita aset bernilai RM356,744 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
"Aset berkenaan termasuk tiga kenderaan iaitu Nissan GT-R, Honda City dan Proton Exora, pelbagai barangan kemas serta wang tunai RM1,026," katanya.
Hussein berkata, tiga suspek pertama telah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 3 September lalu, manakala suspek keempat didakwa mengikut Seksyen 39A(2) akta sama pada 28 Ogos lalu.
"Suspek ketujuh, kelapan dan kesembilan ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala suspek kelima dan keenam dibebaskan dengan jaminan polis.
"Saringan awal air kencing mendapati suspek pertama, kedua, keempat dan kelapan positif THC, manakala suspek keenam positif ketamin," katanya.
Hussein berkata, semakan turut mendapati suspek pertama dan ketiga masing-masing mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah sebelum ini.