SHAH ALAM - Bekas Menteri Undang-Undang, Zaid Ibrahim menggesa pemimpin politik di Semenanjung termasuk daripada Umno dan pembangkang menyatakan pendirian berhubung pertikaian minyak dan gas antara Petronas dan Sarawak.
Menurut beliau, isu berkenaan bukan semata-mata membabitkan kepentingan Sarawak, sebaliknya turut mempunyai implikasi terhadap Petronas serta kepentingan Persekutuan secara keseluruhan.
“Bila saya akan dengar ahli politik pembangkang dan pemimpin Umno bersuara mengenai perkara ini?” katanya menerusi hantaran di X.
Zaid turut mempersoalkan sama ada pemimpin politik keberatan mengambil pendirian kerana tidak mahu menjejaskan hubungan dengan parti-parti dari Malaysia Timur yang mempunyai pengaruh penting dalam pembentukan kerajaan Persekutuan.
Zaid, yang baru-baru ini menyertai PAS, turut memberi amaran supaya rundingan antara Putrajaya dan Sarawak tidak dipengaruhi pertimbangan politik.
Katanya, kepentingan minyak dan gas negara tidak seharusnya dijadikan bahan tawar-menawar bagi mendapatkan sokongan politik.
Kenyataan Zaid itu dibuat menjelang mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijangka dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu, Jumaat ini.
Beliau membangkitkan kemungkinan kedudukan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sebagai agregator gas tunggal Sarawak menjadi antara perkara penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
Zaid mendakwa peranan tersebut bernilai kira-kira RM10 bilion setahun.
Beliau turut merujuk kepada cukai jualan negeri (SST) yang dikenakan Sarawak terhadap produk petroleum, yang menurutnya telah memberikan hasil berbilion ringgit kepada negeri berkenaan.
Zaid berkata, kerajaan Persekutuan perlu mempertahankan kepentingan Persekutuan dan Petronas, pada masa sama menghormati hak Sarawak.
Beliau turut berpandangan bahawa persoalan berkaitan hak perundangan Petronas dan Sarawak seharusnya diputuskan melalui proses kehakiman sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian.
“Biar Mahkamah Persekutuan putuskan; biar hak Petronas dibicarakan,” katanya.
Menurutnya, perkara berkaitan MA63 perlu dibincangkan secara terbuka demi kepentingan negara dan tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada percaturan politik antara pemimpin.