KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan menggunakan kedudukan berkaitan pelaburan RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad, 12 tahun lalu.
Abdul Azeez membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.
“Faham, kenyataan itu tidak benar sama sekali saya mohon dibicarakan," kata bekas Ahli Parlimen Baling yang memakai baju lokap polis berwarna ungu, dalam keadaan bergari ketika berdiri di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, ahli politik berusia 60 tahun itu didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Pengerusi Lembaga TH, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan.
Ia membabitkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunirasi sebanyak RM690,000 setahun serta kemudahan satu kereta jenis BMW 7 Series termasuk seorang pemandu tetap.
Perbuatan itu didakwa dengan mengarahkan Tan Sri Ismee Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH dengan mencadangkan Abdul Azeez sebagai wakil TH dalam syarikat Putrajaya Perdana.
Ia termasuk meyakinkan Ahli-Ahli Lembaga TH semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga TH supaya bersetuju meluluskan cadangan untuk melabur sehingga RM193.5 juta (sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada) dalam syarikat itu.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan TH, Jalan Tun Razak, di sini pada 25 Ogos 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Law Chin How dan 'Atirah Mohd Azuarizanuddin.
Sementara pembelaan untuk Abdul Azeez diwakili peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat.
Selepas mendengar permohonan jaminan, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM450,000 dengan dua penjamin tempatan dan memenuhi syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur, tiga bulan sekali.
Mahkamah menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes.
Abdul Azeez sebelum ini direman selama tujuh hari, bermula 27 Ogos hingga 2 September, bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.
Siasatan itu susulan pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.