Penduduk Taman Manggis rayu tempoh cari kediaman baharu

Iklan
Pannir (dua dari kanan) bersama penduduk di hadapan PPR Taman Manggis.

GEORGE TOWN – Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang berdepan tindakan pengusiran merayu kerajaan negeri memberikan tempoh munasabah bagi membolehkan mereka mencari kediaman baharu.

Pengerusi Pertubuhan Penduduk PPR Taman Manggis, Pannir Selvam berkata, tindakan pengusiran secara berperingkat menimbulkan kebimbangan terutama dalam kalangan golongan B40 yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk berpindah dalam tempoh singkat.

Iklan
Iklan

Pannir

Menurutnya, lima unit rumah dikenakan tindakan pengusiran pada minggu lalu manakala tujuh lagi unit dikosongkan pada Selasa.

Iklan

“Daripada lima unit minggu lalu, dua memang mempunyai masalah termasuk tunggakan sewa, jadi saya tidak mahu ulas mengenai perkara itu.

“Namun, tiga lagi membabitkan seorang anak yatim, warga emas berusia 60-an serta sebuah keluarga yang suaminya bekerja dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP),” katanya pada sidang media di sini pada malam Selasa.

Iklan

Pannir berkata, anak yatim terbabit pernah memohon bilik di Padang Tembak untuk dijadikan tempat tinggal, namun tidak menerima tawaran sebelum diarahkan keluar atas alasan bujang dan tidak mempunyai keluarga.

Katanya, warga emas berkenaan pula mempunyai masalah penglihatan dan didakwa dikenakan tindakan kerana berkahwin dengan warga Indonesia selain isu berkaitan kucing di rumah.

“Sementara keluarga yang suaminya bekerja dengan MPPP pula sebenarnya sudah mendapat rumah kuarters tetapi masih menunggu kemudahan elektrik dan air disediakan,” katanya.

Pannir (duduk, tengah) bersama beberapa penduduk PPR Taman Manggis yang menghadiri sidang media pada malam Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa pihak berkuasa Pulau Pinang menghentikan tindakan pengusiran penghuni PPR Taman Manggis.

PSM Pulau Pinang mendakwa lima unit dikunci pihak berkuasa pada 3 September lalu manakala beberapa penghuni lain turut berdepan tindakan sama.

Susulan itu, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) menegaskan tindakan penguatkuasaan dibuat selepas proses semakan silang, penilaian terperinci, sesi libat urus serta pengeluaran notis mengikut prosedur kerajaan.

LPNPP turut menjelaskan skim PPR merupakan perumahan sementara atau peralihan untuk keluarga B40 dengan kadar sewa bersubsidi, manakala kadar sewa PPR Taman Manggis kekal RM124 sebulan.

Dalam pada itu, Pannir berkata, penduduk hanya memerlukan sedikit masa untuk berpindah kerana kekangan kewangan, namun alasan berkenaan didakwa tidak diterima LPNPP.

Menurutnya, sebahagian daripada tujuh penduduk yang dikenakan tindakan pada Selasa sudah menerima tawaran rumah baharu tetapi belum menandatangani dokumen kerana memerlukan masa membuat pertimbangan.

Antara lokasi rumah yang ditawarkan ialah Desa Wawasan, Mak Mandin dan Ampang Jajar di Seberang Perai Tengah.

“Yang menjadi persoalan, mengapa penduduk di pulau perlu dipindahkan ke Seberang Perai sedangkan sebahagian besar mereka bekerja di bahagian pulau?

“Golongan B40 perlu menanggung kos pengangkutan yang tinggi. Ini bukan soal tidak mahu berpindah tetapi lokasi yang ditawarkan juga perlu mengambil kira tempat kerja dan kemampuan mereka,” katanya.

Pannir turut mempersoalkan tindakan terhadap seorang penduduk yang sudah menerima surat tawaran rumah baharu tetapi belum mendapat kunci kerana rumah berkenaan masih belum siap.

“Rumah di sana belum siap dan kunci belum diberikan, tetapi rumah di sini sudah disita. Jadi dia hendak tinggal di mana?” katanya.

Beliau mendakwa penduduk tidak menerima makluman mencukupi sebelum tindakan sitaan dibuat, termasuk tiada notis peringatan dilekatkan di hadapan rumah.

Katanya, pihak pengurusan dan LPNPP juga tidak memberikan senarai lengkap penduduk yang bakal dikenakan tindakan menyebabkan mereka sukar mengetahui siapa yang akan berdepan pengusiran seterusnya.

Pannir berkata, isu berkenaan bukan perkara baharu apabila 22 penduduk menerima surat pada April tahun lalu menyatakan mereka tidak layak membeli rumah, manakala kira-kira 18 lagi menerima notis berkaitan pertukaran nama pasangan pada September atau Oktober lalu.

Menurutnya, kebanyakan penduduk yang dikenakan tindakan didakwa melanggar peraturan rumah, termasuk meletakkan kasut di luar rumah atau terlalu banyak kenderaan.

“Saya tidak mempertikaikan jika ada penduduk bergaji tinggi yang memang tidak lagi layak. Tetapi ramai di sini berpendapatan rendah, malah ada yang menerima kurang RM1,700 sebulan. Saya sendiri hanya memperoleh sekitar RM2,000,” katanya.

Beliau berkata, penduduk sudah beberapa kali cuba membawa perkara itu ke Komtar, termasuk mengadakan perbincangan dengan LPNPP, Exco Perumahan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan, namun mendakwa tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Pannir berkata, penduduk Taman Manggis mempunyai sejarah penempatan semula sejak 2004 bagi menempatkan penduduk setinggan yang dirobohkan di sekitar George Town.

Katanya, pada 2005 mereka dimaklumkan rumah berkenaan disediakan melalui konsep sewa selama dua tahun sebelum dipertimbangkan untuk skim sewa beli (RTO), selain pernah menerima janji pada 2019 untuk diberi keutamaan mendapatkan rumah baharu di Jelutong dan Balik Pulau.

“Namun sehingga sekarang perkara itu tidak direalisasikan. Apabila saya bertanya kepada Exco Perumahan, saya tidak mendapat jawapan,” katanya.

Beliau berkata, penduduk tidak menolak kemungkinan berpindah sekiranya kerajaan negeri benar-benar tidak membenarkan mereka terus tinggal di Taman Manggis, namun mahu penyelesaian yang tidak menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal.

“Kalau kerajaan negeri memang mahu menghalau kami, berikan sekurang-kurangnya tawaran rumah yang boleh dibeli kepada mereka yang mampu.

“Bagi golongan B40 yang tidak mampu membeli rumah, kerajaan negeri perlu mencari jalan penyelesaian. Jangan hanya mengusir mereka tanpa memikirkan ke mana mereka hendak pergi,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Wahida Ismail, 40-an, berkata, dia yang menetap di Taman Manggis sejak 2005 kini terpaksa menumpang di rumah adik selepas kediamannya disita minggu lalu.

Wahida

Menurutnya, dia tidak menerima notis baharu sebelum rumahnya disita selain surat bertarikh 31 Mac lalu yang mengarahkannya keluar.

“Saya sudah membuat surat rayuan dan menghantarnya ke Komtar. Mereka terima dan cop surat itu tetapi sehingga kini tidak ada sebarang maklum balas.

“Pada Khamis minggu lalu, mereka telefon dan beritahu mahu menyita rumah. Saya tanya mana notis dan perintah mahkamah, tetapi mereka kata tiada,” katanya.

Wahida berkata, keluarganya sebelum ini tinggal bersama suami, tiga anak dan ibu mentua, namun kini terpaksa berpecah untuk mendapatkan tempat tinggal sementara.

“Saya tidak bekerja manakala suami bekerja dengan kerajaan. Anak bongsu saya berusia 13 tahun manakala dua lagi berusia 22 dan 25 tahun.

“Sekarang anak saya tinggal di rumah adik, suami di rumah ibu dan saya pula menumpang di rumah seorang lagi adik. Kami tidak mempunyai bilik dan terpaksa tidur di ruang tamu,” katanya.

Menurutnya, dia hanya meminta diberikan masa sehingga urusan rumah kuarters suaminya selesai, termasuk menunggu bekalan air dan elektrik.

“Saya minta diberikan masa sehingga hujung bulan supaya boleh membuat persediaan, lebih-lebih lagi anak hendak masuk sekolah. Tetapi saya diberitahu tidak boleh dan diminta membawa hanya dua helai pakaian serta dokumen penting,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pannir berkata, tiga penduduk yang diusir minggu lalu kini ditempatkan sementara di hotel sebelum dibantu mendapatkan tempat di Pusat Transit Harapan selama dua minggu.

Katanya, seorang lagi penduduk wanita masih berada di Taman Manggis kerana pihaknya tidak sanggup membiarkannya keluar tanpa tempat tinggal.

“Bagi tujuh orang yang diusir pada Selasa, mereka juga terpaksa mencari tempat tinggal sementara termasuk hotel sedangkan mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi.

“Sebagai pengerusi penduduk, saya mahu membantu tetapi kemampuan saya juga terhad. Sebab itu kami mahu kerajaan negeri mendengar dan berbincang dengan penduduk,” katanya.

Pannir menegaskan, alasan warga emas mempunyai anak atau keluarga yang boleh menjaga mereka tidak semestinya sesuai untuk semua kes kerana keadaan setiap keluarga berbeza.

Beliau berharap kerajaan negeri menangguhkan tindakan pengusiran sehingga penyelesaian munasabah dicapai bagi memastikan tiada penduduk kehilangan tempat tinggal.

“Kami bukan minta kerajaan ikut semua cakap kami. Kami cuma minta keadilan dan ruang untuk berbincang. Kami yang mengundi mereka dan sekarang hak kami pula ditarik,” katanya.