KOTA BHARU -"Isteri saya pengsan bila dapat tahu khabar duka berkenaan anak perempuan kami."
Demikian kata Kamaruddin Salleh, 69, bapa kepada Dr Ainul Baraah yang maut dalam nahas helikopter di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak.
ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara bawa lima penumpang terhempas - CAAM
Nahas helikopter: Status mangsa belum dipastikan, SAR sedang dijalankan – Polis Sarawak
Nahas helikopter: KKM hubungi waris, ahli keluarga mangsa
Nahas helikopter: KKM maklum Dr Ainul meninggal dunia - Keluarga
Residen Miri sahkan semua mangsa helikopter terhempas meninggal dunia
Nahas helikopter: Al-Fatihah buat Kapten Zainol Afiq - Adik ipar mangsa
Pesara guru itu berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.'
Kediamannya itu kini tidak putus-putus menerima kunjungan daripada sanak saudara yang menziarahi selepas berita kejadian terbabit diterima.
Kamaruddin berkata, isterinya, Rogayah Mohd Noor, 69, yang juga pesara guru baru sahaja sembuh daripada penyakit strok begitu terkejut selepas mendapat tahu berita buruk berkenaan.
Ujarnya, berita yang menimpa anak keempat daripada lima beradik itu diketahui sekitar jam 5 petang selepas dimaklumkan oleh besan mereka.
Dia memberitahu, besannya beberapa kali ulang perkataan berita buruk dan sukar untuk menceritakan perkara yang berlaku selepas dimaklumkan oleh suami Dr Ainul iaitu menantunya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37.
"Suami Dr Ainul seorang guru dan mengajar di Gua Niah manakala dia berkhidmat di Hospital Miri.
"Kali terakhir mereka berdua pulang ke kampung semasa cuti sekolah dan baru pulang ke sana dua hari lalu," katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga merancang untuk ke Sarawak pada Rabu dan akan bertolak ke Kuala Lumpur pada malam ini menaiki kereta.
Terdahulu, kesemua mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di STOLport Long Lellang, pedalaman Baram, pada Selasa disahkan meninggal dunia.
Borneo Post yang memetik Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Residen Miri, Galong Luang sebagai berkata, kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter itu maut dalam nahas yang berlaku di hujung landasan kira-kira jam 3.40 petang.
“Malangnya, kesemua lima individu di dalam helikopter itu disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.