SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menafikan dakwaan penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sebarang usaha untuk menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan(YDPBNS).
Menurutnya, beliau sentiasa menyokong Timbalan Perdana Menteri itu serta seluruh barisan kepimpinan UMNO yang sentiasa menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan.
“Merujuk kepada laporan yang disiarkan oleh The Straits Times bertarikh 8 September 2026, saya ingin menafikan dakwaan penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sebarang usaha untuk menurunkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai YDPBNS.
“Saya sentiasa menyokong Presiden UMNO serta seluruh barisan kepimpinan parti yang sentiasa menjunjung, mempertahankan dan memelihara keluhuran Institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau pada masa sama berharap isu yang melibatkan adat di Negeri Sembilan dapat diselesaikan dengan baik, penuh hikmah dan mengikut lunas undang-undang.
Tambahnya, langkah itu penting demi menjamin kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.
Kenyataan itu dikeluarkan Ismail, susulan laporan The Straits Times yang mendakwa beberapa pemimpin tertinggi UMNO termasuk Ahmad Zahid turut hadir dalam pertemuan Ismail bersama Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar dan Undang Yang Empat di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu.
Dalam pertemuan itu, Ismail turut didakwa telah menandatangani proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai YDPBNS.
Dakwaan berkenaan dibuat oleh Undang Yang Empat termasuk Datuk Mubarak Dohak serta Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Al-Qadri dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Badarudin Abd Khalid menerusi kenyataan bersama bertarikh 5 September 2026.
Bagaimanapun pada keesokannya, Ismail dalam kenyataan media menzahirkan sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz sebagai YDPBNS.
Katanya, fokusnya kini adalah untuk menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri.