KUALA LUMPUR – Seorang wanita hamil yang ditahan di Penjara Wanita Kajang terpaksa menanggung kehilangan bayi dalam kandungannya ketika masih menunggu prosiding kes berkaitan dadah.
Peguam, Sivahnanthan Ragava yang mewakili wanita berkenaan berkata, kejadian itu menyebabkan anak guamnya berdepan tekanan dan kebimbangan.
"Dia masih belum dibuktikan bersalah, maka sekiranya undang-undang membenarkan mahkamah mempertimbangkan ikat jamin berdasarkan isu kehamilan, ia mungkin dapat menyelamatkan satu nyawa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan, sebelum ini telah mewakili seorang anak guam di Penjara Sungai Buloh yang telah menghidap kanser hidung namun merebak ke paru-paru dan juga mengakibatkan sebelah matanya buta.
Katanya, ketika itu anak guam tersebut menjalani kemoterapi semasa tahanan di Penjara Sungai Buloh.
Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak menyediakan laluan biasa bagi permohonan ikat jamin dalam kes berkenaan.
Katanya, isu berkenaan menimbulkan persoalan asas mengenai nilai kemanusiaan.
"Bagi kesalahan serius lain seperti di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas 2012 iaitu SOSMA, mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh seperti tertuduh wanita, orang sakit atau uzur serta penama bawah umur 18 tahun.
"Jadi, mengapa Akta Dadah Berbahaya tidak menyediakan pengecualian kemanusiaan yang sama bagi wanita hamil atau orang kena tuduh yang menghidap penyakit kritikal?
"Akta Dadah Berbahaya bukan mengehadkan keupayaan mahkamah untuk memberikan ikat jamin tetapi langsung tiada ruang untuk dijamin.
"Sekiranya anak guam mengalami sakit jantung dihadapan hakim sekali pun, tiada jaminan akan diberi kerana hakim tidak diberi kuasa memberikan jaminan," katanya.
Beliau berkata, seseorang yang didakwa masih belum boleh dianggap sebagai pesalah kerana belum disabitkan kesalahan.
Susulan itu, beliau menggesa kerajaan dan semua ahli Parlimen meminda undang-undang berkaitan dadah dengan segera bagi memberi kuasa budi bicara kepada mahkamah untuk membenarkan ikat jamin kepada tertuduh, atas faktor kemanusiaan dalam keadaan luar biasa.
"Saya tidak meminta ikat jamin tanpa sekatan bagi individu yang didakwa mengedar dadah.
"Apa yang diminta ialah mahkamah diberi budi bicara untuk mempertimbangkan ikat jamin bagi wanita hamil, warga emas serta orang kena tuduh yang benar-benar sakit atau kritikal.
"Syarat ketat boleh dikenakan seperti penggunaan Peranti Pemantauan Elektronik iaitu EMD, penyerahan pasport, kewajipan melapor diri di balai polis serta langkah perlindungan lain bagi menangani risiko melarikan diri dan memastikan pentadbiran keadilan tidak terjejas," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata hukuman sewajarnya hanya dikenakan selepas sabitan, manakala mekanisme berkaitan juga perlu diwujudkan bagi banduan yang mengalami penyakit terminal atau mengancam nyawa selepas dijatuhi hukuman.
Katanya, undang-undang harus dipinda bagi menyediakan ruang untuk hukuman ditangguhkan, digantung atau individu berkenaan dibebaskan atas dasar ihsan sekiranya pemenjaraan berterusan tidak lagi mempunyai tujuan bermakna dan hanya menyebabkan mereka meninggal dunia dalam tahanan.
"Saya berharap Kerajaan akan segera mempertimbangkan pindaan Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mewujudkan peruntukan ikat jamin atas faktor kemanusiaan yang dikawal dengan teliti.
"Ini bukan soal berlembut terhadap tertuduh dalam kes jenayah, tetapi memastikan perjuangan menentang kes dadah tidak dilakukan dengan mengorbankan nilai kemanusiaan," katanya.