Pasukan SMART fokus cerapan dron kawasan Syafrubesi-Timure

Iklan
Seramai 10 anggota Pasukan SMART diketuai seorang pegawai berlepas dari Markas Taktikal Tentera Nepal di Trishuli pada jam 10.45 pagi waktu tempatan menggunakan helikopter MI-17 menuju ke Dhunche.

KUALA LUMPUR – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) Malaysia memberi tumpuan kepada aktiviti cerapan dron meliputi kawasan antara Syafrubesi dan Timure yang dijadualkan mengambil masa selama dua hari dalam operasi di Nepal.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, seramai 10 anggota Pasukan SMART diketuai seorang pegawai berlepas dari Markas Taktikal Tentera Nepal di Trishuli pada jam 10.45 pagi waktu tempatan menggunakan helikopter MI-17 menuju ke Dhunche.

Iklan
Iklan

"Operasi pasukan di lapangan melibatkan cerapan dan pengumpulan data menggunakan dron," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Seramai 10 anggota Pasukan SMART diketuai seorang pegawai berlepas dari Markas Taktikal Tentera Nepal di Trishuli pada jam 10.45 pagi waktu tempatan menggunakan helikopter MI-17 menuju ke Dhunche.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Pasukan SMART selamat tiba di Kathmandu, Nepal pada Sabtu bagi menyertai misi bantuan kemanusiaan dan mencari serta menyelamat (HADR) susulan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda negara berkenaan.

NADMA memaklumkan, kawasan antara Syafrubesi dan Timure dibahagikan kepada empat sektor utama iaitu Sektor A, B, C dan D bagi memastikan liputan imej udara yang menyeluruh.

Iklan

Katanya, tugasan berkenaan dibahagikan kepada dua pasukan, dengan setiap pasukan terdiri daripada lapan anggota membabitkan gabungan empat anggota SMART dan empat anggota Angkatan Tentera Nepal.

Bagaimanapun, keadaan cuaca hujan yang berlaku hampir setiap hari menjadi antara kekangan kepada usaha penerbangan dron di kawasan operasi.

"Pasukan SMART sentiasa meneliti kaedah paling sesuai bagi memastikan aktiviti cerapan dan pengumpulan data foto udara dapat dilaksanakan secara optimum," menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, data yang diperoleh melalui cerapan berkenaan akan dianalisis bagi mendapatkan gambaran keadaan kawasan terjejas, selain melengkapi atau menambah baik data sedia ada serta menyokong perancangan operasi seterusnya.