ISKANDAR PUTERI – Lebih 1,000 atlet di seluruh Johor bakal menerima manfaat daripada sumbangan RM130,000 yang dikumpul menerusi IIB20 Golf Invitational 2026, sekali gus membantu memperkukuh usaha pembangunan bakat sukan negeri itu.
Sumbangan oleh Iskandar Investment Berhad (IIB) bersama rakan korporatnya itu disalurkan kepada Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan menyokong pembangunan sukan dan bakat tempatan.
Sumbangan berkenaan akan menyediakan sumber tambahan bagi menyokong latihan, pembangunan serta usaha atlet mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan masing-masing.
Ia turut membabitkan sokongan terhadap program pembangunan sukan dan penyediaan peralatan sukan kepada Persatuan Sukan Negeri Johor.
Sumbangan itu diserahkan secara rasmi kepada MSNJ menerusi majlis penyerahan cek replika yang disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim.
Menurut Idzham, sambutan ulang tahun ke-20 IIB bukan sekadar meraikan pencapaian syarikat itu sepanjang dua dekad lalu, sebaliknya turut menjadi peluang untuk memperluaskan manfaat pertumbuhan kepada masyarakat.
“Tema ‘20 Years of Impact’ mempunyai makna yang istimewa buat IIB. Peranan kami bukan hanya membangunkan projek dan menarik pelaburan, tetapi turut memastikan kemajuan yang diwujudkan dapat diterjemahkan kepada peluang serta manfaat nyata kepada komuniti di sekeliling kita.
“IIB20 Golf Invitational mencerminkan komitmen ini. Kami menghargai sokongan rakan korporat dalam memperluaskan capaian inisiatif ini dan menyokong bakat sukan Johor. Ia membuktikan apa yang mampu kita capai apabila bersama-sama dengan matlamat yang dikongsi,” katanya.
IIB20 Golf Invitational 2026 berlangsung di Forest City Golf Resort pada 15 Ogos lalu dengan menghimpunkan 80 peserta terdiri daripada rakan strategik dan korporat IIB.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada siri inisiatif IIB20 yang dilaksanakan sepanjang tahun bagi meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan IIB pada 2006.
Berteraskan tema ‘20 Years of Impact’, sambutan tersebut turut memperkukuh komitmen IIB terhadap pertumbuhan Johor dan kesejahteraan komuniti.
Sejak 2024, IIB telah menyumbang kira-kira RM3.5 juta menerusi zakat, tajaan dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), membabitkan pelbagai program yang memberi manfaat kepada lebih 90,000 individu dan komuniti di seluruh Johor.
Dato’ Idzham berkata, pembangunan bermakna tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan nilai pelaburan atau pembangunan fizikal, sebaliknya turut melihat kepada peluang yang diwujudkan dan kesannya terhadap kehidupan masyarakat.
“Bagi IIB, pembangunan yang bermakna bukan semata-mata diukur melalui nilai pelaburan atau pembangunan fizikal. Ia juga berkaitan peluang yang kita cipta dan perubahan yang dibawa dalam kehidupan masyarakat.
“Inilah semangat yang mahu kami teruskan ketika IIB melangkah ke fasa seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah MSNJ, Hasnul Atmam Othman berkata, kerjasama sektor awam dan swasta penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan sukan di Johor.
Katanya, pembangunan atlet memerlukan sokongan serta kerjasama berterusan daripada semua pihak.
“Sumbangan daripada IIB dan rakan korporatnya akan menyokong program pembangunan sukan serta penyediaan peralatan sukan kepada Persatuan Sukan Negeri Johor, sekali gus memperkukuh keupayaan dan prestasi atlet di bawah MSNJ.
“Kami menghargai komitmen bersama ini dalam mewujudkan lebih banyak peluang untuk bakat sukan Johor berkembang, meningkatkan prestasi dan mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan masing-masing,” katanya.
IIB20 Golf Invitational 2026 merupakan antara beberapa inisiatif yang dilaksanakan sepanjang tahun bagi menghimpunkan rakan strategik, rakan korporat dan komuniti IIB, selain meneruskan semangat ‘20 Years of Impact’.