SERDANG - Platform e-dagang terkemuka, Shopee meraikan 31 usahawan di seluruh Malaysia menerusi penganjuran kempen Shopee Juara Lokal.
Diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-69, kohort sulung Shopee Juara Lokal menghimpunkan 31 usahawan dari seluruh negara, merentasi pelbagai kategori perniagaan.
Mereka dipilih berdasarkan kisah tersendiri, daya tahan, serta rekod prestasi yang dibina menerusi platform Shopee.
Selain itu, sentuhan jenama masingmasing turut diselitkan kisah inspirasi, ketabahan sepanjang proses pembangunan idea dan rekod prestasi yang dibina menerusi platform Shopee.
Ketua Dasar Awam dan Hal Ehwal Luaran Shopee Malaysia, Nik Emir Din berkata, kempen tersebut membawa rakyat Malaysia lebih dekat dengan usahawan, produk dan kisah di sebalik perniagaan tempatan.
“Di sebalik setiap perniagaan tempatan, tersimpan kisah Malaysia yang lahir daripada pengalaman peribadi, pengetahuan dan keazaman untuk membina produk bermakna.
“Apabila perniagaan ini berkembang, ia bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, malah membuka lebih banyak ruang untuk produk dan tradisi Malaysia diketengahkan kepada pelanggan di luar pasaran mereka.
“Kesemua 31 usahawan dalam Shopee Juara Lokal membuktikan yang sebenarnya banyak laluan menuju kejayaan misalnya berniaga dalam talian di Shopee. Kami harap kempen ini mampu menginspirasikan generasi usahawan Juara Lokal seterusnya dalam mencapai kejayaan namun dengan cara tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada hari perasmian penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini pada Ahad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dan menyempurnakan majlis penutupan MAHA 2026. Anwar turut bertemu usahawan dan wakil daripada empat jenama yang diketengahkan menerusi Shopee Juara Lokal, selepas merasmikan penutupan program dwitahunan itu.
Ditanya mengenai kehadiran Shopee di MAHA 2026, Nik Emir berpandangan, penyertaan Shopee turut mencerminkan komitmen berterusannya dalam menyokong sektor pertanian Malaysia serta membantu pengeluar tempatan dan usahawan agro meneroka saluran digital baharu.
“Pada acara itu, Shopee dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkenalkan pratonton Shopee Instant Mart, iaitu inisiatif baharu yang bakal menawarkan perkhidmatan penghantaran hasil segar, produk berasaskan agro dan barangan keperluan harian dalam tempoh satu hingga empat jam.
“Perkhidmatan ini akan dilaksanakan secara berperingkat di kawasan geografi terpilih, bermula di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi,” katanya.
Jelasnya, sinergi itu membolehkan pengguna membuat pesanan hasil segar, produk berasaskan agro dan barangan keperluan harian menerusi Shopee untuk dihantar dalam tempoh satu hingga empat jam sahaja.
“Servis ini bakal diperkenalkan secara berperingkat di beberapa zon geografi terpilih bermula di kawasan bandar berpenduduk padat.
“Shopee dan FAMA turut mengetengahkan DuniaAgro+, iaitu kempen khusus yang bertujuan meningkatkan keterlihatan digital, memperluas akses pasaran serta membuka lebih banyak peluang jualan kepada penjual produk agro tempatan di platform berkenaan.
“Secara keseluruhannya, inisiatif-inisiatif ini menyediakan lebih banyak peluang kepada perniagaan tempatan untuk berkembang menerusi e-dagang dan perkhidmatan penghantaran ekspres,” katanya.
Empat daripada 31 usahawan Shopee Juara Lokal turut berkongsi kisah jatuh bangun empayar perniagaan masing-masing ketika ditemui Sinar Harian.
Shopee Juara Lokal bantu peserta kuasai pemasaran online
Bagi Pengasas Kita Shop Sabah, Emilhan Mokhtar, pengalaman membantu ibu bapanya berniaga di pasar tamu sejak kecil menjadi asas kepada pembangunan jenama kraftangan perhiasan berasaskan mutiara asli dari kepulauan Borneo.
“Pengiktirafan sebagai salah seorang juara dalam Shopee Juara Lokal amat bermakna kerana saya dapat mewakili masyarakat, budaya dan hasil kraftangan Sabah.
“Kami bermula di platform dalam talian dahulu sebelum melebarkan sayap membuka premis fizikal di Kota Kinabalu,” katanya.
Wakil Russell Taylors, Denish Kumar Raguchandran berkata, pendapatan yang dijana jenama perkakasan dapur itu daripada pemasaran digital Shopee sebanyak 60 peratus manakala selebihnya penjualan secara fizikal.
“Menariknya tentang Russell Taylors ialah reka bentuk moden dan kualiti.
“Pada saya, Shopee membantu usahawan memasarkan produk buatan Malaysia menerusi Shopee Juara Lokal, sekali gus memberi pendedahan tentang pemasaran perdagangan dalam talian secara efektif,” ujar Denish.
Tembusi pasaran global Pengasas Bersama Love Earth Organic, Natasha Mah berkata, pengalaman melihat insan tersayang mengharungi dugaan kesihatan menjadi pencetus untuk pihaknya memenuhi keperluan komuniti terhadap produk makanan organik mampu milik, seiring perubahan keperluan kesihatan serta gaya hidup rakyat.
“Jenama ini dibangunkan sejak 15 tahun lalu. Kami percaya pemakanan sihat amat penting untuk masyarakat masa kini, ditambah pula pengguna lebih sukakan Shopee untuk platform beli-belah.
“Kami juga mahu ubah persepsi yang makanan organik bukan hanya untuk orang sakit, sebenarnya sesuai untuk dinikmati setiap lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi generasi muda,” jelas Natasha.
Wakil MILK™, John Teoh berkata, jenama produk khusus buat ibu mengandung itu tidak mampu melepasi pasaran global tanpa panduan daripada Shopee.
Meskipun belum mencecah usia dua tahun dalam industri, bagi John Teoh, platform dalam talian itu membantu dari segi capaian pelanggan baharu.
“MILK™ lebih kepada barangan lampin dan tisu basah berasaskan susu. Kebanyakan produk penjagaan bayi jenama lain sama ada harga murah dan kualiti murah atau harga premium dan kualiti premium.
“Kami mengimbangi kedua-duanya dengan menawarkan produk berkualiti tinggi namun pada harga berpatutan dan memenuhi keperluan bakal ibu,” kata John Teoh.