PUTRAJAYA – Prestasi Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 menunjukkan peningkatan bagi domain Sains dan Bacaan berbanding kitaran sebelumnya.
Sains yang menjadi domain utama dalam penilaian kali ini meningkat tiga mata kepada 419 berbanding 416 mata dalam PISA 2022, manakala Bacaan turut mencatat peningkatan lima mata kepada 393.
Bagaimanapun, pencapaian Matematik terus menunjukkan kemerosotan apabila menurun 11 mata daripada 409 kepada 397.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, perkembangan positif dalam domain Sains dan Bacaan merupakan kemajuan yang wajar dihargai, khususnya apabila purata pencapaian Bacaan negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) turut menunjukkan trend penurunan.
Namun, beliau mengakui kemerosotan dalam Matematik perlu diberi perhatian serius dan tidak boleh dilihat sebagai perubahan yang berlaku dalam satu kitaran penilaian semata-mata.
“Pencapaian Matematik kita menurun. Penurunan ini bukan sesuatu yang boleh dilihat sebagai perubahan dalam satu kitaran sahaja.
“Ia seharusnya mendorong kita melihat masalah ini dengan lebih serius dan bukan bersikap defensif,” katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan PISA 2025 di sini pada Selasa.
Menurut Fadhlina, keputusan PISA 2025 turut memperlihatkan beberapa kekuatan penting dalam kalangan murid Malaysia termasuk tahap rasa ingin tahu yang tinggi, kecekalan ketika berdepan kesukaran serta keupayaan mengurus pembelajaran secara kendiri.
Malah, katanya, kesediaan murid Malaysia mendapatkan bantuan apabila diperlukan berada pada kedudukan tertinggi di dunia, manakala ketahanan mereka untuk terus belajar berada pada kedudukan ketiga tertinggi di dunia.
“Anak yang tahu bertanya apabila tidak tahu bukanlah anak yang lemah. Anak yang terus mencuba apabila berdepan kesukaran bukanlah anak yang gagal.
“Itu juga sebahagian daripada keupayaan untuk belajar,” katanya.
PISA 2025 dilaksanakan dari 22 April hingga 30 Mei tahun lalu dengan penyertaan seramai 7,624 pelajar berusia 15 tahun melibatkan 157 sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, prestasi murid Malaysia dalam domain Penyelesaian Masalah Komputasional turut menjadi satu kekuatan yang perlu dimanfaatkan.
Malaysia merekodkan 484 mata dalam domain tersebut dan tersenarai antara enam negara yang mencatat pencapaian melebihi jangkaan.
Katanya, dapatan itu menunjukkan murid Malaysia mempunyai keupayaan menggunakan logik, mengenal pasti pola, menguji kemungkinan dan mencari jalan penyelesaian.
Bagaimanapun, kekuatan tersebut masih belum diterjemahkan kepada penguasaan Matematik yang lebih kukuh.
“PISA bukan sekadar menunjukkan masalah. Ia juga memberikan petunjuk kepada kita.
“Cabaran kita ialah memastikan keupayaan tersebut benar-benar diterjemahkan kepada penguasaan Matematik yang lebih baik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik (RTPM) yang telah dilaksanakan memberi tumpuan kepada pemahaman konsep, kemahiran penaakulan dan penyelesaian masalah.
“Kita tidak mahu Matematik menjadi perlumbaan mencari jawapan. Kita mahu Matematik melatih anak-anak mencari jalan kepada jawapan,” katanya.
Sementara itu, Fadhlina berkata, laporan PISA 2025 turut menunjukkan murid Malaysia merasakan mereka menerima sokongan yang kuat daripada guru.
Berdasarkan dapatan tersebut, sebanyak 91 peratus murid menyatakan guru membantu pembelajaran mereka, 87 peratus berpendapat guru terus mengajar sehingga mereka benar-benar faham, manakala 86 peratus menerima bantuan tambahan apabila diperlukan.
Selain itu, 83 peratus murid merasakan mereka diberi peluang untuk menyatakan pendapat, manakala 80 peratus berpandangan guru menunjukkan minat terhadap pembelajaran mereka.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada para guru yang terus menjadi wira yang tidak didendangkan. Terima kasih cikgu.
“Dalam segala perbahasan mengenai kurikulum, teknologi dan peperiksaan, jangan kita lupa bahawa pendidikan akhirnya adalah mengenai seorang guru yang menyalakan harapan dalam diri seorang anak,” katanya.