Empat kawasan di Sarawak catat IPU sangat tidak sihat

Iklan
Indeks Pencemar Udara (IPU) di empat kawasan di Sarawak mencatatkan kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Indeks Pencemar Udara (IPU) di empat kawasan di Sarawak mencatatkan kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat, membabitkan IPD Serian (254), Kuching (261), Sri Aman (234) dan Samarahan (231).

Dapatan itu diperoleh berdasarkan laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat kemas kini pada jam 3 petang Selasa.

Iklan
Iklan

JAS berkata, sebanyak 24 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu Tasek Ipoh (159), Pegoh (151), Seri Manjung (156) dan Tanjung Malim (156) di Perak, manakala di Kuala Lumpur melibatkan Batu Muda (163) serta Cheras (159).

"Di Putrajaya (156), manakala daerah Selangor membabitkan Kuala Selangor (124), Petaling Jaya (154), Shah Alam (163), Klang (155) dan Banting (159).

Iklan

"Di Negeri Sembilan pula ialah Nilai dengan IPU 159 dan Seremban (153), manakala di Melaka meliputi Alor Gajah (146) serta Bukit Rambai (107).

"Terdapat juga kawasan di Sarawak yang mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat seperti ILP Miri (173), Miri (164), Samalaju (179), Bintulu (168), Mukah (185), Sarawak (166), Sarikei (185) dan di Selangor, iaitu Johan Setia (165)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

JAS turut memaklumkan bahawa tiga kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, manakala 36 lokasi berstatus sederhana.

Kata jabatan itu, pihaknya memandang serius perkembangan kualiti udara semasa dan terus memperkukuh pemantauan serta tindakan di lapangan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.

Jelasnya, keadaan itu berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian rantau Selatan ASEAN.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 7 September, sebanyak 109 titik panas dikesan di Kalimantan, 119 di Sumatera dan enam di Malaysia, termasuk empat di Pahang serta satu di Terengganu.

"ASMC turut melaporkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan meliputi bahagian barat laut Borneo.

"Kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas yang dikesan di banyak kawasan di Kalimantan, bahagian timur Jawa serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.

"Jerebu sederhana turut diperhatikan di bahagian barat Semenanjung Malaysia," ujar jabatan itu.

Tambah JAS, pihaknya memberi perhatian khusus terhadap kejadian kebakaran yang berlaku di beberapa lokasi di Sarawak, khususnya di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah berikutan risiko kebakaran yang lebih tinggi dalam keadaan cuaca panas serta kering.

Jelasnya, kebakaran di kawasan berkenaan berpotensi menghasilkan asap dan pelepasan bahan pencemar yang boleh menjejaskan kualiti udara setempat sekiranya tidak dikawal.

Berdasarkan status terkini, kebakaran antaranya di Jalan Sibujaya Barat, Mukah, berjaya dipadamkan sepenuhnya, manakala di Kampung Kut, Daro, daripada keseluruhan kawasan seluas lapan hektar yang terbakar, kira-kira 7.8 hektar berjaya dipadamkan dengan baki 0.2 hektar masih dalam tindakan pemadaman.

JAS dalam masa sama meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya ketika keadaan cuaca panas dan kering serta kualiti udara berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.

"Orang ramai juga diminta supaya tidak membenarkan tanah atau premis milik mereka dimasuki mahupun dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlakunya pembakaran terbuka," tegas jabatan itu lagi.

Selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1,000,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

Orang ramai diminta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi talian 999 atau JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 bagi membolehkan tindakan segera diambil.