KUNAK - Isu tuntutan bayaran 40 peratus hasil bersih Sabah antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah akan menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan yang antara lain membincangkan tuntutan serta isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum diselesaikan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd di sini pada Selasa.
Hajiji berkata, kerajaan Sabah berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sepanjang pentadbiran beliau, sembilan perkara di bawah MA63 telah diselesaikan termasuk penurunan kuasa berkaitan kepada Sabah.
"Dulu ada empat perkara, jadi kesemuanya 13 (perkara) telah diselesaikan. Bagaimanapun, masih ada perkara-perkara lain, termasuk pembayaran 40 peratus," katanya.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan tuntutan bayaran 40 peratus berkenaan, namun masih terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan.
"Mereka telah setuju tetapi ada lagi masalah mungkin teknikal yang dibawa. Ini proses biasa sebab ada proses rayuan, tetapi ia tidak mengganggu keputusan untuk kita mendapatkan bayaran 40 peratus itu," katanya.
Hajiji berkata, perkara-perkara yang masih belum selesai akan dibawa semula untuk pertimbangan dalam mesyuarat atau rundingan MA63 seterusnya.
Dalam perkembangan lain, Hajiji turut menyambut baik kemajuan projek Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd yang hampir siap dan dijangka mula mengeluarkan vitamin E sebelum akhir tahun ini.
Beliau berkata, kilang berkenaan merupakan perkembangan positif sebagai aktiviti serta perniagaan sampingan Kumpulan Sawit Kinabalu dengan menggunakan bahan-bahan berasaskan sawit dalam pengeluarannya.
"Saya amat berbesar hati mendengar taklimat tadi daripada Sawit Kinabalu dan syarikat bersama Sawit Kinabalu kerana kilang yang dibina untuk mengeluarkan vitamin E ini telah hampir selesai dan akan mengeluarkan vitamin E sebelum hujung tahun.
"Ini satu perkembangan yang cukup baik sebagai aktiviti dan juga perniagaan sampingan Kumpulan Sawit Kinabalu. Semua ini dibuat daripada bahan-bahan sawit dan sebagainya," katanya.
Hajiji berkata, projek itu dipercayai merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan diharap dapat membantu meningkatkan hasil Sawit Kinabalu serta syarikat kerjasamanya.
"Saya rasa ini yang pertama di Malaysia. Jadi ini satu perkembangan yang bagus. Mudah-mudahan ia akan dapat menambah hasil Sawit dan juga syarikat kerjasama," katanya.
Hadir sama ialah Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Musa dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg.