Lebih 6,700 kes hilang pendengaran akibat bunyi bising di tempat kerja

Iklan
Ahmad Jailani (dua dari kanan) melawat ke reruai pameran pemain industri yang menyertai simposium.

KOTA BHARU – Hilang pendengaran akibat pendedahan kepada bunyi bising di tempat kerja direkodkan sebagai penyakit pekerjaan tertinggi di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ahmad Jailani Mansor berkata, 6,747 jumlah kes itu merangkumi 82.3 peratus daripada keseluruhan kes penyakit pekerjaan yang disahkan pada 2024.

Iklan
Iklan

“Berdasarkan Statistik Penyakit Pekerjaan Negara 2024, sebanyak 11,465 kes penyakit pekerjaan dilaporkan di seluruh negara dengan 8,196 daripadanya disahkan sebagai penyakit pekerjaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 6,747 kes kehilangan pendengaran akibat pendedahan kepada bunyi bising di tempat kerja, menjadikannya kategori penyakit pekerjaan paling dominan di negara ini,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Simposium Kesihatan Pekerjaan Zon Pantai Timur 2026 di sebuah hotel di Langgar, di sini pada Selasa.

Menurut beliau, antara faktor yang penyebab keadaan itu ialah pelaksanaan cadangan langkah kawalan yang masih belum menyeluruh di peringkat industri.

Iklan

Katanya, berdasarkan pemerhatian terhadap laporan Penilaian Risiko Bunyi (NRA) hanya kira-kira 60 peratus cadangan langkah kawalan yang dikemukakan oleh pegawai penilai bertauliah dilaksanakan oleh pihak industri.

“Bagi laporan Penaksiran Risiko Kesihatan Bahan Kimia pula, kadar pelaksanaan langkah kawalan adalah lebih baik iaitu hampir 80 peratus, juga masih belum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Ahmad Jailani berkata, perkara itu menimbulkan persoalan memandangkan negara mempunyai perundangan serta garis panduan yang baik dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Kita ada ekosistem perundangan yang baik, persoalannya, mengapa masih tidak dapat mengekang pendedahan kepada risiko kesihatan pekerjaan.

“Kita sebenarnya mempunyai ilmu untuk melaksanakan langkah-langkah kawalan, tetapi kita tidak mempunyai kesedaran untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau mengulas, susulan itu penting usaha peningkatan kesedaran dalam kalangan industri supaya bukan sekadar mematuhi peraturan malah melaksanakan langkah-langkah kawalan yang disyorkan oleh pegawai penilai bertauliah.

Tambah beliau, selain kehilangan pendengaran, statistik turut merekodkan 820 kes penyakit muskuloskeletal pekerjaan, 299 kes akibat agen fizikal, 203 kes keracunan pekerjaan, 82 kes penyakit kulit, 24 kes penyakit akibat agen biologi, 16 kes penyakit paru-paru, tiga kes kanser pekerjaan dan dua kes gangguan psikososial.

Simposium anjuran JKKP Kelantan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan itu menghimpunkan lebih 300 peserta dari Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi membincangkan isu, penyelidikan serta amalan terbaik dalam memperkasa pengurusan kesihatan pekerjaan.