PUTRAJAYA – Polis antarabangsa (INTERPOL) di Manchester sedang mengumpul maklumat bagi mengesan keberadaan bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther yang kini berada di United Kingdom (UK).
Ia susulan rayuan pendakwaan di Mahkamah Rayuan pada Selasa, terhadap pembebasannya dalam kes mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki pistol tiruan.
Ketika sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata, pendakwaan menghantar notis permintaan kepada Unit Biro Pusat Nasional (NCB) dan Polis Antarabangsa (Interpol) di Manchester dua bulan lalu bagi mendapatkan maklumat berkaitan pemuda itu selaku responden.
Menurutnya, permintaan lanjut mengenai butiran keberadaan Muhammed Yusoff, 33, turut dibuat, namun pihak pendakwaan selaku perayu, masih belum menerima pengesahan mengenainya.
"Kami hantar notis permintaan kepada Interpol menerusi surat bertarikh 22 Julai yang lalu malah keberadaan responden ataupun percubaan untuk menyerahkan notis kepadanya belum diketahui," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Asnawi memohon tarikh baharu bagi membolehkan pihaknya meneruskan usaha menyerahkan notis rayuan kepada bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk mengenai serahan notis rayuan mengikut Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) kepada responden.
Seksyen 314 itu menyatakan pendakwaan wajib menyerahkan notis rayuan dan pendengaran secara peribadi kepada responden, sebelum rayuan didengar di mahkamah.
Katanya, peguam responden sebelum ini memaklumkan bahawa, anak guam mereka bersedia menghadiri pendengaran rayuan secara dalam talian menerusi aplikasi dalam talian, Zoom.
"Jadi pada saya, Seksyen 314 itu tidak terpakai kerana responden ingin hadir untuk mengikuti prosiding tetapi melalui wadah lain iaitu secara tidak fizikal," katanya.
Bagaimanapun, Hakim, Datuk Azman Abdullah yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, kehadiran responden diperlukan memandangkan perkara tersebut melibatkan kes jenayah.
"Mahkamah tidak mahu jika ada keputusan kelak, ia memerlukan menahan dan dikeluarkan, tetapi ia tak dapat dilaksanakan.
Susulan itu, Mohd Asnawi memberitahu, pendakwaan akan berusaha menyerahkan notis berkenaan berkenaan.
Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili respoden berkata, pendirian pihaknya kekal untuk mematuhi keperluan mandatori di bawah Seksyen 314 berkenaan.
"Anak guam memberi arahan sebagaimana dalam surat bertarikh 2 Jun, yang dihantar kepada Presiden Mahkamah Rayuan bahawa beliau berada di luar negara dan memohon perlindungan suaka hak asasi manusia," katanya yang hadir bersama peguam, Nur Mustanir Md Nor, Akif Rusli dan Muhammad Amirul Ar Rasyid Azman.
Azman kemudiannya menegaskan bahawa, ketika pandemik Covid-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekalipun, prosiding jenayah tidak dijalankan tanpa kehadiran tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 November depan untuk sebutan kes seterusnya bagi perkembangan serahan notis kepada responden.
Pada 12 Jun 2025, Muhammed Yusoff dilepaskan dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tanpa perlu membela diri, masing-masing satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki pistol tiruan.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yusoff di akhir kes pendakwaan.
Pada 12 September 2024, Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram.
Kesalahan didakwa dilakukan dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September tahun sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 12 November 2024, Mahkamah Majistret membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.