[VIDEO] Lima anjing liar serang Haira diburu, status rabies perlu dikenal pasti

Iklan

JOHOR BAHRU – Lima ekor anjing liar yang dipercayai menyerang Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2, di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat pada Selasa, kini diburu bagi memastikan haiwan berkenaan dapat diperiksa dan dikenal pasti status rabies.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, tindakan segera itu penting berikutan kebimbangan pihak hospital terhadap kemungkinan anjing yang menyerang mangsa dijangkiti rabies.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi besar-besaran memburu dan menangkap anjing liar di kawasan berkenaan telah dimulakan Pejabat Daerah Batu Pahat sejak Isnin, dan akan dipergiatkan sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu.

“Antara tanggungjawab besar pihak berkuasa ialah menangkap anjing liar berkenaan kerana kebimbangan pihak hospital sama ada anjing yang terlibat mempunyai penyakit rabies.

Iklan

“Ini memerlukan tangkapan segera dibuat supaya anjing-anjing liar di kawasan tersebut dapat disemak dan diperiksa.

"Jika bebas rabies, barulah ada sedikit kelegaan kepada doktor serta ibu bapa kerana kebimbangan ini boleh menjejaskan tahap pemulihan anak ini,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menziarahi Nur Haira yang masih menerima rawatan rapi di ICU Kanak-Kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA), pada Selasa.

Mohd Fared (kanan) bertemu dengan ibu bapa Haira di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah memberitahu, operasi berkenaan turut melibatkan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi sedang berjalan ketika ini dan akan diteruskan serta dipanjangkan berdasarkan keperluan semasa.

“Saya menyeru PBT, Pejabat Daerah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menggunakan semua kaedah yang dibenarkan undang-undang termasuk pemantauan dan intipan bagi memastikan masalah anjing liar di kawasan tersebut dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata, operasi menangkap anjing liar di kawasan berkenaan sebenarnya telah dijalankan sebelum kejadian itu.

“Pada 12, 26 dan 30 Ogos lalu, MPBP bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menjalankan operasi dan 22 ekor anjing liar berjaya ditangkap.

“Namun kita akui masih terdapat banyak lagi anjing liar di kawasan tersebut sehingga kejadian malang ini menimpa anak kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha membanteras anjing liar akan dipergiatkan di seluruh Johor selepas isu berkenaan dilihat turut berlaku di kawasan lain.

Katanya, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor turut mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menyegerakan operasi berkenaan.