'Saya menggigil lihat anak tidak bergerak'

Iklan
Penduduk menunjukkan lokasi kejadian di sebuah pangsapuri di Tampoi, Johor Bahru. Gambar kecil: Mohammad Adib

JOHOR BAHRU - “Saya menggigil apabila melihat anak saya sudah tidak bergerak.”

Demikian kata Norhidayah Yacob, 30, apabila melihat jasad anak keduanya, Mohammad Adib Rizqy Mohammad Fauzi,7, terbaring di kawasan pangsapuri yang didiami di Tampoi di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Katanya, pada mulanya dia tidak mempercayai berita mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan rakan mangsa.

“Melihat keadaan ini saya terus menghubungi suami untuk memaklumkan kejadian yang berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini. 

Iklan

Norhidayah

Menurut suri rumah itu, ketika kejadian dia sedang mengemas rumah, manakala suaminya, Mohammad Fauzi Zurin, 31, yang bekerja sebagai kelindan lori keluar menjalankan tugas.

Iklan

Dalam pada itu, Norhidayah berkata, keluarga mereka sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran ketujuh Mohammad Adib Rizqy pada Selasa depan yang juga merupakan tarikh hari lahir suaminya.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila anaknya yang juga murid Tahun Satu di sebuah sekolah di sini meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.

Pasukan forensik di lokasi kejadian.

“Kami sudah merancang untuk menyambut hari lahir anak saya pada Selasa depan kerana hari itu juga tarikh lahir suami.

“Sepatutnya kami menyambut ulang tahun kelahirannya mereka berdua minggu depan, tetapi hasrat itu tidak kesampaian apabila dia pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Norhidayah berkata, keluarga mereka reda dengan ketentuan Ilahi meskipun kehilangan anak tersayang itu amat memilukan.

Katanya, keluarga turut merancang untuk meraikan ulang tahun kelahiran anak kedua daripada empat beradik itu pada Khamis, namun terpaksa menangguhkannya kerana suaminya masih belum menerima gaji.