GEORGE TOWN – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi fokus kepada pembangunan serta penggunaan teknologi yang mampu membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi permohonan Belanjawan akan datang.
Menterinya, Datuk Chang Lih Kang berkata, antara penekanan diberikan adalah teknologi yang boleh diperluaskan penggunaannya ke kawasan pedalaman termasuk kawasan luar grid (off-grid).
Menurut beliau, setiap tahun kementerian mengemukakan rangka permohonan belanjawan kepada Kementerian Kewangan namun perincian peruntukan hanya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan.
“Penekanan kita akan diberikan kepada teknologi yang boleh membantu rakyat, yang boleh kita sampaikan sehingga ke kawasan pedalaman dan 'off-grid area'.
“Kita cuba bawa teknologi itu untuk kesejahteraan rakyat. Itu fokus kita, berbanding menghantar orang ke angkasa.
“Kita lebih fokus kepada penggunaan teknologi yang boleh menyenangkan kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) ke-9 2026 di Penang Waterfront Convention Centre, di sini pada Selasa.
Mengulas mengenai tragedi di Nepal, beliau berkata, Malaysia sentiasa membuat persiapan bagi menghadapi bencana termasuk dari aspek operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan penggunaan teknologi.
Katanya, teknologi memainkan peranan penting dalam membantu pasukan penyelamat mengendalikan operasi bencana termasuk mengenal pasti mangsa dan memastikan keselamatan anggota SAR.
“Sebagai contoh, apa yang berlaku di Batang Kali dahulu, kita menggunakan banyak teknologi untuk membantu mencari mayat dan mengenal pasti DNA mangsa.
“Kita juga menggunakan teknologi angkasa untuk mengesan sekiranya berlaku tanah runtuh susulan bagi memastikan pasukan penyelamat berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Menurutnya, penggunaan dron, teknologi pengesanan mangsa dan analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) antara teknologi yang digunakan dalam misi SAR.
“Teknologi memang sangat terlibat dalam semua misi SAR. Sebab itu kita perlu membangunkan teknologi sendiri untuk membantu misi seperti ini,” katanya.