KOTA BHARU - Seorang peniaga dalam talian yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Syariah di sini pada Selasa atas kesalahan lelaki berlagak seperti wanita di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) pada November lalu.
Tertuduh, Khairul Izwan Sidi Ahmad, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Firdaus W Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berlagak seperti perempuan, iaitu memakai baju-T, baju 'slim fit', seluar dalam wanita dan selipar perempuan.
Perbuatan itu dilakukan di Bahagian Penguatkuasaan Agama, Jaheaik di sini kira-kira jam 2.35 petang pada 9 November 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Kelantan, Syafika Mat Husin dengan dibantu Ezarihan Mat.
Tertuduh pula diwakili peguam syarie, Muhammad Syarafi Mohd Salleh dan Mohd Faqqhurudin Mohd Nasir.
Terdahulu, Syafika mencadangkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin.
Muhammad Syarafi dalam rayuannya memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM500 dengan mengambil kira faktor anak guamnya merupakan OKU serta penyumbang terbesar dalam membayar komitmen keluarga.
"Tertuduh merupakan seorang OKU dan kami mempunyai maklumat mengenai status tersebut selain perlu menanggung bil elektrik kediaman keluarga sebanyak lebih RM400 sekali gus menjadi komitmen bulanannya," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Muhammad Syarafi ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah di sini berkata, anak guamnya membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.