SERDANG- Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 melakar sejarah tersendiri apabila merekodkan kehadiran pengunjung mencapai 5.02 juta sepanjang 10 hari penganjurannya bermula 28 Ogos lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, daripada jumlah berkenaan 2.01 juta merupakan golongan belia sekali gus membuktikan keterujaan rakyat Malaysia terhadap acara yang sentiasa ditunggu-tunggu itu.
“Sasaran kami empat juta orang, maksudnya lebih satu juta manakala penglibatan pempamer mencecah 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai negara.
“Nilai jualan langsung pula mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM73.08 juta. Memorandum persefahaman turut berjaya memeteraikan kolaborasi strategik dan jangkaan pelaburan lebih kurang RM10.35 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, MAHA 2026 bukan pengakhiran kepada usaha memperkukuh sektor pertanian negara, sebaliknya menjadi lonjakan baharu ke arah transformasi sektor berkenaan.
Menurutnya, segala pemeteraian perjanjian, jalinan perkongsian teknologi dan ilham yang dizahirkan sepanjang program itu berlangsung perlu disusuli dengan tindakan susulan yang pantas supaya manfaatnya sampai ke golongan sasar.
“Bagi penganjuran MAHA pada masa akan datang, saya menaruh harapan yang tinggi agar platform ini akan terus mekar sebagai hab inovasi agromakanan terunggul di rantau ini.
“Kita akan terus berusaha menarik lebih ramai penyertaan anak muda dan modal insan berkemahiran tinggi ke dalam ekosistem pertanian, selaras dengan matlamat untuk membina sebuah negara yang mandiri, berdaya tahan dan terjamin daripada segi bekalan makanan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kemeriahan di 13 Pavilion Negeri,kepelbagaian sajian di Food Empire dan keunikan aktiviti interaktif di Laman Ternakan, Perikanan, Padi serta Hortikultur telah menjadikan MAHA 2026 satu destinasi agropelancongan keluarga yang menyatukan seluruh warga Malaysia Madani.
Menurutnya lagi, semasa penganjuran MAHA tahun 2024, pihaknya berjanji untuk mengurangkan jurang de sit imbangan dagangan negara dalam sektor agromakanan.
Ujarnya, dengan kerjasama dan sokongan Perdana Menteri serta Kerajaan Madani pihaknya berjaya mengurangkan de sit imbangan dagangan dalam sektor agromakanan sebanyak RM5.4 bilion atau 13.8 peratus pada tahun 2025.
“Bagi tahun 2026 sehingga Mei, de sit ini terus mencatatkan penurunan sebanyak26.4 peratus.Ini meliputi nilai eksport meningkat 8.1 peratus kepada RM58.8 bilion berbanding nilai import menurun 1.1 peratus kepada RM92.7 bilion pada tahun 2025 berbanding tahun 2024,” katanya.
Pengalaman berbeza buat pengunjung
Kemeriahan MAHA 2026 memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung yang hadir, termasuk mereka yang pertama kali menyertai pameran berkenaan.
Bagi Camaylea Fasyiehah Aehmad, 18, yang berasal dari Sabah, MAHA 2026 menjadi pengalaman pertama buatnya selain peluang memperkenalkan makanan tradisi negeri itu kepada pengunjung.
Pelajar Universiti Islam Selangor itu berkata, penganjuran program berkenaan sedikit sebanyak mengubat kerinduannya terhadap kampung halaman selepas berpeluang melihat pelbagai produk dan tradisi Sabah.
“Saya teruja kerana pertama kali sertai MAHA. Ramai pengunjung dan kebanyakannya ke sini mencari makanan tradisi Sabah.
“Orang semenanjung berminat dengan makanan tradisi Sabah. Bagi pendapat saya, MAHA ini sangat bagus untuk kami memperkenalkan produk-produk makanan Sabah,” katanya.
Sementara itu, K Praba, 47, menyifatkan MAHA 2026 sebagai ruang untuk masyarakat Malaysia beriadah bersama keluarga dengan kos yang rendah.
“Suasana yang dapat dirasai sepanjang MAHA 2026 juga memperlihatkan kepelbagaian masyarakat,” katanya.
Bagi Izzat Amir Abidin, 20 dari Johor pula, MAHA 2026 mengimbau kembali kenangan ketika mengunjungi pameran berkenaan sewaktu kecil.
“Alhamdulillah, MAHA 2026 ini sangat seronok. Saya pernah datang ke sini sewaktu kecil dan kunjungan pada kali ini telah mengimbau kenangan. Saya paling suka tengok lembu sado,” katanya.
Dalam pada itu, Lee Kok Yan, 61, berpandangan MAHA 2026 menunjukkan kemajuan berbanding penganjuran sebelum ini kerana menyediakan pelbagai peluang kepada golongan muda.
“Semua tempat makan tidak mempunyai masalah dan kami menikmatinya dengan selesa,” katanya.
Kok Yan turut menyifatkan pengunjung berpeluang melihat pelbagai hasil serta aktiviti yang dipamerkan, termasuk tanaman dan buah-buahan yang jarang dilihatnya.