ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta untuk menyiasat isu kelewatan pengagihan Baja Sebatian Tambahan atau Baja Padi Tiga kepada pesawah dari semua sudut sehingga ke akar umbi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, siasatan bukan sekadar menentukan sama ada wujud kesalahan atau tangkapan, sebaliknya perlu turut mengenal pasti kelemahan dalam sistem pengurusan bantuan pertanian supaya perkara sama tidak berulang.
Menurutnya, isu berkaitan bekalan baja bukan perkara baru malah masalah sama turut membabitkan bekalan benih dan racun sebelum ini.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri yang memberi maklum balas segera.
"Siasat sampai ke akar umbi dan pastikan manfaat skim subsidi kerajaan ini sampai kepada petani," katanya selepas Majlis Pelancaran Program Bakti Siswa Perdana Negeri Kedah kali ke-3 dan Kedah Siswa Care pada petang Isnin.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan SPRM menyiasat isu kelewatan bekalan Baja Tiga di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan menegaskan pesawah tidak sepatutnya menjadi mangsa akibat kegagalan pihak yang diberi amanah.
Kelewatan pengagihan baja ini dilaporkan menjejaskan lebih 38,000 pesawah dengan keluasan tanaman seluas 78,117 hektar di kawasan MADA.
SPRM memaklumkan seorang saksi daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) telah diambil keterangan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 bagi meneliti dakwaan berkaitan kelewatan pembekalan selain aspek tatakelola.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut mempersoalkan keberkesanan mekanisme bantuan kerajaan kepada penanam padi dengan mendakwa sebahagian besar manfaat skim berkenaan akhirnya mengalir kepada syarikat yang membekalkan input pertanian.
Menurutnya, kerajaan juga perlu mengambil pandangan pesawah untuk memperbaiki mekanisme bantuan kerana mereka lebih memahami keperluan sebenar di sawah.
"Pada anggapan orang, kalau bagi (bantuan) kepada petani ini, mereka tak buat padi, mereka pergi beli motosikal. Itu pada anggapan.
"Jadi kena turun duduk dengan orang yang buat bendang ini, mereka lebih faham daripada orang yang mengawal industri. Baja nak beli di mana, benih nak dapat di mana, beli bila, bulan berapa, mereka lebih faham," ujarnya.
Tambahnya, skim subsidi sektor padi bukan perlu hanya dilihat hanya dari sudut perniagaan tetapi meletakkan kepentingan dan kebajikan pesawah sebagai keutamaan.