IPOH - Projek pembangunan Ipoh Sentral bernilai RM6.25 bilion dijangka membawa limpahan ekonomi kepada penduduk khususnya di Bandar raya Ipoh menerusi pewujudan ribuan peluang pekerjaan, peningkatan aktiviti perniagaan serta pembangunan sektor pelancongan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek pembangunan bercampur terbesar di pusat bandar Ipoh itu memberi impak langsung kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong memandangkan lokasinya bersempadan dengan pusat bandar raya berkenaan.
Menurut beliau, pelaksanaan projek dimulakan dengan pembinaan Taman Landskap pada awal tahun ini, diikuti pembinaan masjid yang dijangka bermula penghujung tahun ini dan mengambil tempoh dua tahun.
"Seterusnya, perancangan Terminal Bersepadu dan Pusat Membeli-Belah dijadualkan bermula pada 2027 dengan tempoh pelaksanaan selama lima hingga enam tahun, manakala fasa pembangunan kediaman disasarkan bermula pada 2028.
"Secara keseluruhannya, pembangunan fasa seterusnya akan dilaksanakan secara fleksibel dalam tempoh horizon 20 tahun mengikut keadaan pasaran," katanya ketika menjawab Soalan Lisan Thulsi Manogaran (PH-Buntong) Sempena Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di sini pada Selasa.
Saarani berkata, dari sudut ekonomi dan pekerjaan, projek berkenaan diunjurkan menjana antara 8,000 hingga 9,000 peluang pekerjaan ketika fasa pembinaan dan melebihi 10,000 pekerjaan selepas siap sepenuhnya.
Katanya, peluang pekerjaan itu meliputi pelbagai sektor termasuk pembinaan, perkhidmatan, logistik dan perdagangan, sekali gus berpotensi merangsang aktiviti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan di Buntong.
"Perkembangan ini secara tidak langsung merangsang aktiviti PKS tempatan merangkumi perniagaan runcit, kulinari dan pengangkutan, di samping berupaya meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitar.
"Dari dimensi mobiliti pula, hab transit bersepadu ini akan menyatukan perkhidmatan ETS, Komuter Utara, bas, teksi dan e-hailing di bawah satu bumbung, sekali gus menyediakan sambungan lebih cekap ke pusat ekonomi utama seperti KL Sentral dan Penang Sentral," katanya.
Menurutnya, projek yang selaras dengan Ipoh Smart City Master Plan 2030 itu turut menyediakan kemudahan komuniti, ruang pejabat, perniagaan, pangsapuri servis, kawasan hijau terbuka serta laluan pejalan kaki.
Tambah beliau, peningkatan kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa ke Ipoh Sentral juga dijangka memberi kesan positif kepada Buntong dan Perak secara keseluruhannya.
"Pertambahan pelancong dijangka merancakkan sektor perhotelan tempatan, industri kulinari warisan serta pasaran produk ikonik tempatan.
Menjawab soalan tambahan mengenai sama ada terdapat pengambilan tanah individu sepanjang pelaksanaan pembangunan Ipoh Sentral, Saarani menjelaskan setakat ini ia tidak membabitkan mana-mana tanah persendirian.
Jelasnya, pelaksanaan semasa projek hanya melibatkan tanah yang diluluskan kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC).