KUALA LUMPUR – Anak muda Malaysia tidak boleh terus menjadi sekadar pengguna teknologi dan kandungan digital, sebaliknya perlu berani muncul sebagai pencipta, pemilik harta intelek dan pemain utama ekonomi kreatif di peringkat ASEAN serta global.
Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), Khairul Rizam Datuk Abu Samah berkata, perkembangan pesat teknologi dan digitalisasi membuka ruang besar kepada generasi muda untuk mencipta sumber pendapatan baharu melalui kreativiti, inovasi dan keusahawanan.
Menurutnya, anak muda perlu melihat industri kreatif bukan sekadar ruang menghasilkan kandungan untuk media sosial, tetapi sebagai sektor ekonomi yang mampu melahirkan pemilik jenama, pencipta karya, pengusaha teknologi serta pemilik harta intelek.
“Anak muda tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi dan kandungan. Kita mahu mereka menjadi pencipta, pemilik harta intelek dan pengusaha yang mampu menjadikan kreativiti sebagai sumber ekonomi.
“Bakat yang ada perlu diterjemahkan kepada nilai komersial supaya karya anak muda tidak berhenti di pasaran tempatan, sebaliknya mampu menembusi ASEAN dan pasaran global,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MBWP dan Gerakan Ekonomi Kreatif Nasional (GeKrafs) Indonesia di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur pada Isnin.
Majlis berkenaan disaksikan Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Datuk Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin.
Turut hadir Ketua DLPN GeKrafs Malaysia, Rika Amelia Rush.
Khairul Rizam berkata, MoU berkenaan menjadi platform untuk membentuk ekosistem industri kreatif anak muda Malaysia dan Indonesia yang lebih tersusun, selain memperkukuh jaringan profesional serta membuka peluang penembusan pasaran.
“Kerjasama Malaysia dan Indonesia ini bukan sekadar pertukaran idea atau program bersama, tetapi bagaimana kita membina satu ekosistem yang membolehkan bakat muda mendapat akses kepada ilmu, jaringan industri, teknologi, bimbingan dan peluang pasaran.
“Kita mahu mereka bergerak daripada tahap mencipta kepada tahap mengkomersialkan karya dan seterusnya membina perniagaan yang mampu bertahan,” katanya.
Beliau berkata, antara tumpuan utama kerjasama itu ialah pembangunan bakat dan peningkatan kapasiti melalui kelas induk teknikal, kem latihan intensif, webinar berkaitan pengewangan harta intelek serta bengkel media digital.
Menurutnya, kedua-dua pihak turut akan menghubungkan rangkaian belia dan pemain industri kreatif bagi menggalakkan perkongsian kepakaran, kolaborasi serta penerokaan peluang perniagaan merentasi sempadan.
“Kalau kita mahu anak muda bersaing di peringkat global, mereka perlu mempunyai kemahiran dan jaringan yang melangkaui sempadan negara.
“Malaysia dan Indonesia mempunyai jumlah anak muda yang besar serta kekuatan budaya dan kreativiti yang tersendiri. Jika digabungkan, ia boleh menjadi kekuatan ekonomi kreatif yang jauh lebih besar,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul Rizam berkata, kerjasama berkenaan turut memberi penekanan terhadap peluang komersial yang lebih saksama kepada golongan belia, termasuk melalui platform digital dan jaringan industri serantau.
Katanya, peluang kepada bakat muda tidak seharusnya terhad kepada mereka yang sudah mempunyai nama atau akses kepada industri, sebaliknya perlu diperluaskan kepada pencipta baharu yang mempunyai idea dan potensi.
“Yang penting ialah kita membuka pintu. Anak muda mungkin mempunyai idea dan bakat, tetapi tanpa jaringan, bimbingan dan akses kepada pasaran, potensi itu sukar berkembang.
“Jadi, kita mahu wujudkan ruang yang membolehkan mereka diuji, dibimbing dan akhirnya dibawa ke pasaran sebenar,” katanya.
Kerjasama itu turut merangkumi penganjuran pameran industri kreatif, pertandingan pembentangan idea, hackathon dan ekspo seni digital bagi menyediakan ruang kepada pencipta muda mempamerkan hasil karya kepada pemain industri dan pelabur.
Rangkaian kerjasama tersebut turut disokong penganjuran Ekraf Talk, Mini Expo dan Business Matching Ekonomi Kreatif Indonesia-Malaysia yang memberi tumpuan kepada peluang kolaborasi dalam ekonomi kreatif, pelaburan, perdagangan, teknologi dan digitalisasi, inovasi, pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta keusahawanan.
Khairul Rizam berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan industri kreatif terus dilihat sebagai sektor ekonomi yang mampu mencipta pekerjaan, melahirkan usahawan dan menjana pendapatan baharu untuk generasi muda.
“Kalau hari ini anak muda hanya mengejar jumlah tontonan dan pengikut, kita mahu mereka berfikir lebih jauh daripada itu.
“Kita mahu mereka bertanya, bagaimana kandungan itu boleh menjadi produk, bagaimana idea itu boleh menjadi perniagaan dan bagaimana karya itu boleh menjadi harta intelek yang bernilai,” katanya.
Beliau berkata, MBWP akan terus memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik di peringkat serantau bagi memastikan golongan belia mempunyai ruang yang lebih luas untuk mengembangkan potensi dalam ekonomi baharu.
“Matlamat akhirnya ialah membina generasi muda yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi mampu memiliki dan menguasai nilai ekonomi yang lahir daripada teknologi serta kreativiti mereka sendiri,” katanya.