SHAH ALAM - Negara akan melangkah ke usia satu abad dalam tempoh 31 tahun lagi, justeru persediaan ke arah itu perlu dilakukan segera.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, jika Indonesia mempunyai wawasan dan gagasan Indonesia Emas 2045, amat wajar #Malaysia100 diangkat sebagai satu agenda nasional.
Menurutnya, ia seperti Wawasan 2020 yang pernah menjadi gagasan utama negara.
“MBM sudah tentunya menyokong kempen #Malaysia100 seperti yang telah diumumkan oleh Pengasas Yayasan Sinar Malaysia.
“Ia perlu dilengkapkan dengan fokus dan objektif yang jelas supaya mudah mendapat tempat di hati rakyat,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, rakyat Malaysia diseru menjadikan visi #Malaysia100 sebagai hala tuju bersama demi membina dan mewariskan sebuah negara yang lebih baik menjelang ulang tahun ke-100 kemerdekaan negara pada 2057.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Yayasan Sinar Untuk Malaysia, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tempoh 30 tahun yang berbaki hanyalah merentasi satu generasi, manakala wajah Malaysia yang bakal diterima anak cucu pada waktu itu sedang dibentuk oleh tindakan masyarakat hari ini.
Beliau meluahkan kebimbangan apabila banyak masa negara kini terbuang dengan pertelingkahan isu kaum, agama dan politik, sedangkan usaha memperbaiki sistem serta institusi negara perlu digerakkan serta-merta tanpa mengira latar belakang atau ideologi.
Tambah Mohd Izzat Afifi, paling utama agenda #Malaysia100 tidak seharusnya diangkat sebagai modal politik mana-mana pihak.
“Usaha itu patut menjadi agenda nasional yang diangkat semua pihak merentas parti dan perbezaan,” katanya.