KOTA KINABALU - Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan di sebuah terminal bas di Inanam, di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain memgesahkan menerima laporan berhubung video pergaduhan dua lelaki tersebut yang turut tular di media sosial.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11.54 pagi melibatkan dua pekerja syarikat bas berusia 38 dan 37 tahun.
"Pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan mendapatkan penumpang bas di mana kedua-duanya dipercayai bertumbuk tanpa melibatkan sebarang senjata," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, pemeriksaan awal turut mendapati kedua-duanya tidak mengalami kecederaan.
"Susulan laporan yang diterima, polis telah menahan kedua-dua lelaki tersebut kira-kira jam 2.30 petang Ahad, bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar," katanya.
Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menganggu ketenteraman awam dan menyelesaikan sebarang perselisihan melalui saluran yang sewajarnya.
"Dalam masa sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan," katanya.