PORT DICKSON - Dua lelaki, seorang daripadanya mempunyai 54 rekod jenayah lampau ditahan di Teluk Kemang di sini minggu lalu selepas disyaki terlibat dalam 12 kes pecah rumah di tiga negeri.
Suspek berusia 34 dan 24 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang di sebuah premis hasil risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, suspek yang merupakan warga tempatan dipercayai terlibat dalam empat kes pecah rumah di Negeri Sembilan, tiga kes di Kedah dan lima kes di Perak.
“Suspek berusia 34 tahun itu mempunyai 54 rekod jenayah lampau selain mempunyai dua kes sebagai orang dikehendaki polis.
“Suspek kedua pula mempunyai 11 rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan kes antaranya pelbagai mata wang asing, sebuah komputer riba jenama HP, dadah dengan anggaran berat 6.8 gram serta sebuah kenderaan.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman sehingga 9 September bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah.