DALAM menilai perjalanan panjang Tan Sri Abdul Hadi Awang, salah satu tema yang paling konsisten dalam pemikiran politik dan dakwah beliau ialah penyatuan ummah.
Ia muncul berulang kali dalam tulisan, ucapan dasar Muktamar Pas, percaturan kerjasama politik, kegiatan pendidikan dan dakwah serta pendiriannya terhadap persoalan umat Islam di peringkat antarabangsa.
Pendekatan beliau tentu boleh diperdebatkan dan tidak semua kerjasama yang dibentuk oleh Pas dapat bertahan.
Namun begitu, satu perkara yang sukar dinafikan ialah Abdul Hadi berulang kali membawa Pas keluar daripada lingkungan parti sendiri untuk mencari titik pertemuan dengan pihak lain apabila beliau melihat adanya maslahat yang lebih besar.
Dalam politik, rekod ini cukup panjang. Di bawah kepimpinannya, Pas pernah bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat walaupun ketiga-tiganya mempunyai perbezaan ideologi yang besar.
Pada Muktamar Pas 2014, misalnya, ucapan dasar beliau menegaskan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat di samping menyeru ahli Pas memperkukuh ukhuwah, memperbaiki akhlak serta menjaga hubungan antara kaum.
Pengalaman ini penting kerana ia menunjukkan bahawa Abdul Hadi tidak memahami ta‘awun siyasi sebagai kerjasama dengan kelompok yang sama sahaja.
Pas pernah bekerjasama dengan parti Islam, parti nasionalis Melayu dan parti pelbagai kaum apabila wujud ruang kepentingan bersama.
Namun begitu, episod paling besar dalam politik penyatuan ummah ialah hubungan Pas-UMNO. Dua parti Melayu-Islam yang bermusuhan selama puluhan tahun akhirnya menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada September 2019.
Dari sudut sejarah politik Melayu, ia bukan peristiwa kecil. Kedua-dua parti mempunyai sejarah persaingan yang keras, malah luka politik yang mendalam.
Abdul Hadi sendiri ketika Muktamar Pas 2019 menunjukkan betapa jauhnya perubahan itu dengan menyatakan bahawa masyarakat Pas di Memali sekali pun telah dapat menerima kerjasama dengan UMNO demi kepentingan yang lebih luas.
Dalam menghuraikan Muafakat Nasional, Abdul Hadi menekankan bahawa kedua-dua parti mempunyai titik pertemuan pada Islam, Bumiputera, bahasa kebangsaan, institusi Raja serta realiti masyarakat majmuk.
Pada masa yang sama, beliau menggambarkan penyatuan tersebut bukan sebagai penafian terhadap bukan Islam tetapi sebagai asas kepada pembentukan perpaduan nasional yang lebih luas.
Di sinilah kita boleh memahami konsep penyatuan ummah yang dibawanya. Bagi Abdul Hadi, penyatuan politik Melayu-Islam ialah titik mula, bukan titik akhir.
Beliau sering menggunakan pengalaman negara Madinah sebagai kerangka di mana umat Islam disatukan terlebih dahulu sebelum dibentuk kehidupan bersama masyarakat berlainan agama dan kaum.
Pemikiran ini terus kelihatan dalam ucapan dan tulisan beliau mutakhir. Dalam tulisan bertajuk “Perpaduan Umat Islam: Perintah Allah Bukan Dongeng” pada 2 Julai 2026, beliau meletakkan penyatuan umat Islam sebagai tuntutan agama yang kemudiannya menjadi asas kepada pembinaan perpaduan masyarakat yang lebih luas.
Menurut beliau, perpaduan umat Islam bukan berakhir pada penyatuan sesama Muslim, tetapi perlu berfungsi untuk memimpin “perpaduan umat manusia dalam masyarakat majmuk”.
Pendekatan tersebut sebenarnya telah dihuraikan dengan lebih langsung beberapa bulan sebelumnya.
Dalam tulisan bertajuk “Pas Bersama Perpaduan Ikatan Tali Allah, Bukan Tali Ciptaan Manusia” pada 19 Januari 2026, Abdul Hadi membezakan antara perpaduan yang dibina semata-mata atas kepentingan politik, ekonomi, bangsa atau keselamatan dengan perpaduan yang menurut beliau berasaskan prinsip agama dan kebajikan.
Beliau menggunakan konsep ta‘awun daripada Surah al-Ma’idah ayat 2, iaitu kerjasama dalam kebajikan dan ketakwaan serta penolakan kerjasama dalam dosa dan permusuhan, sebagai asas menentukan bentuk kerjasama yang boleh disertai Pas.
Apa yang menarik, tulisan tersebut tidak menghadkan konsep perpaduan kepada umat Islam sahaja.
Abdul Hadi secara khusus merujuk pengalaman Sahifah Madinah sebagai model pembentukan masyarakat politik yang melibatkan umat Islam dan bukan Islam.
Beliau menghuraikan bahawa Rasulullah SAW terlebih dahulu membina kekuatan dan kesatuan umat Islam, sebelum membentuk kerjasama dengan kelompok bukan Islam yang menerima kehidupan bersama melalui perjanjian politik dan hubungan kemanusiaan.
Daripada contoh tersebut, beliau merumuskan pendekatan yang berteraskan “perpaduan Melayu Islam” sebagai tonggak, diikuti oleh “perpaduan kemanusiaan masyarakat majmuk”.
Muktamar Pas Kali ke-72 pada 4 September 2026 sekali lagi mengangkat penyatuan ummah sebagai agenda besar.
Abdul Hadi menyatakan Pas perlu mengambil pendekatan politik secara berhikmah untuk menyatukan Melayu-Islam serta bekerjasama dengan bukan Islam yang tidak ekstrem, sambil menegaskan bahawa perpaduan umat tidak bermaksud menafikan hak masyarakat bukan Islam atau kebebasan beragama dalam kerangka Perlembagaan.
Perkembangan politik pada 2026 memberikan contoh yang lebih mutakhir tentang bagaimana Abdul Hadi meletakkan gagasan penyatuan ummah mengatasi kesetiaan kepada sesuatu formula gabungan yang tetap.
Pada 8 Jun 2026, Pas secara rasmi menamatkan kerjasama politiknya dengan Bersatu.
Keputusan tersebut dibuat selepas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun 2026 yang menilai kerjasama tersebut berdasarkan pertimbangan “dasar, hukum dan maslahah” serta prinsip penyatuan ummah.
Apa yang penting, keputusan itu tidak membawa Pas memilih jalan bergerak bersendirian.
Pas secara jelas menetapkan bahawa parti itu akan “meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya 'electoral pact' demi penyatuan ummah” untuk menghadapi pilihan raya negeri dan PRU16.
Dengan kata lain, penamatan hubungan dengan Bersatu bukan bermaksud Pas menolak kerjasama politik, tetapi membuka ruang kepada formula kerjasama yang dianggap lebih luas dan lebih sesuai dengan matlamat penyatuan yang dibawanya.
Abdul Hadi menghuraikan pendirian itu dengan lebih terperinci pada 11 Jun 2026.
Menurut beliau, Pas menilai semula kerjasama dengan Bersatu kerana terdapat perkara yang dianggap tidak lagi selari dengan usaha memperkukuh perpaduan umat Islam dan penyertaan masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem.
Beliau menyatakan bahawa selepas perbincangan dan proses tabayyun dengan pihak Bersatu, Pas menerima pandangan Majlis Syura Ulamak untuk menghentikan ta‘awun tersebut.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan Pas tetap terbuka kepada kerjasama dengan kumpulan lain, khususnya bagi menjayakan agenda perpaduan umat Islam dan masyarakat majmuk yang lebih besar.
Pendirian itu kemudiannya mendapat bentuk yang lebih nyata dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026,
BN dan PN mencapai persefahaman pilihan raya yang mengelakkan pertembungan sesama mereka di kesemua 36 kerusi.
BN bertanding di 25 kerusi manakala PN meletakkan calon di 11 kerusi. Pimpinan BN sendiri menjelaskan bahawa susunan tersebut bukan penggabungan atau perjanjian politik formal, tetapi suatu persefahaman dan penyelarasan strategi untuk mengelakkan pertindihan kerusi.
Perkara ini signifikan dalam menilai Abdul Hadi sebagai tokoh penyatuan ummah. Hanya lebih sebulan selepas hubungan Pas-Bersatu ditamatkan, Pas dan rakan-rakannya dalam PN sanggup mencari titik pertemuan dengan BN, sebuah gabungan yang mempunyai sejarah persaingan panjang dengan Pas.
Formula Negeri Sembilan memperlihatkan bahawa bagi Abdul Hadi, penyatuan tidak semestinya memerlukan semua parti berada dalam sebuah organisasi yang sama.
Apa yang lebih penting ialah kesediaan mengelakkan pertembungan yang merugikan, mencari ruang persefahaman dan bekerjasama apabila terdapat kepentingan yang dianggap lebih besar.
Hasil PRN mengukuhkan lagi formula tersebut. Keputusan rasmi menunjukkan BN memenangi 18 kerusi, PN tujuh kerusi dan PH 11 kerusi manakala BERSATU yang bertanding secara berasingan di 24 kerusi tidak memenangi sebarang kerusi.
Gabungan 18 kerusi BN dan tujuh kerusi PN memberikan kedua-duanya 25 daripada 36 kerusi, melepasi bukan sahaja majoriti mudah 19 kerusi, malah ambang majoriti dua pertiga sebanyak 24 kerusi.
Selepas keputusan itu, Abdul Hadi secara terbuka memberikan penghargaan kepada kepimpinan, calon, petugas dan jentera PN serta BN yang menurut beliau bekerja “dalam satu saf” bagi mencapai kemenangan.
Lebih penting daripada kemenangan itu sendiri ialah tafsiran politik yang diberikan oleh beliau. Abdul Hadi menyifatkan keputusan PRN tersebut sebagai isyarat bahawa rakyat menerima usaha penyatuan yang “berteraskan keadilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat majmuk”.
Beliau turut menegaskan bahawa kemenangan tersebut mesti diisi dengan agenda pemerintahan yang berkebajikan, berintegriti dan adil kepada semua.
Pendirian ini penting kerana ia menunjukkan konsep “penyatuan ummah” dalam pemikiran Abdul Hadi tidak berhenti pada penyatuan Melayu-Islam semata-mata.
Penyatuan kelompok teras itu dilihat sebagai asas kepada pemerintahan yang perlu menjaga keadilan dan kesejahteraan keseluruhan masyarakat majmuk.
Justeru, kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan boleh dianggap sebagai salah satu ujian praktikal terhadap gagasan tersebut: pihak yang mempunyai sejarah persaingan politik bersetuju mengelakkan pertembungan, membahagikan medan pilihan raya dan akhirnya bekerjasama membentuk kerajaan.
Lebih menarik, episod ini berlaku selepas kegagalan kerjasama dengan Bersatu.
Abdul Hadi tidak menjadikan kegagalan sesuatu kerjasama sebagai alasan untuk meninggalkan agenda penyatuan.
Sebaliknya, bentuk kerjasama boleh berubah, rakan politik boleh berubah dan formula pilihan raya boleh berubah, tetapi matlamat yang beliau tegaskan kekal sama.
Dalam pengertian inilah gagasan penyatuan ummah Abdul Hadi lebih tepat difahami sebagai kerangka politik yang anjal pada kaedah tetapi tegas pada matlamat.
Ini menunjukkan penyatuan ummah baginya bukan formula organisasi yang beku. Rakan politik boleh berubah apabila keadaan berubah, tetapi kerangka yang ditekankan ialah mencari kerjasama yang menurut pertimbangannya dapat memperkuat umat dan kestabilan negara.
Namun begitu, sumbangan Abdul Hadi kepada penyatuan tidak bermula di meja rundingan politik.
Sebelum dikenali sebagai pemimpin nasional, pusat pengaruh beliau ialah Masjid Rusila.
Kajian akademik merekodkan kuliah tafsirnya di situ bermula sejak 1976 dan berkembang daripada pengajian masyarakat kampung kepada sebuah medan pendidikan agama yang menarik pendengar dari luar Terengganu.
Daripada lingkungan ilmu itu turut berkembang Maahad Darul Quran. Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia secara khusus meneliti sumbangan Abdul Hadi sebagai pengasas dan pendidik dalam perkembangan institusi tersebut.
Maka pengaruh beliau terhadap umat bukan hanya melalui pilihan raya, tetapi melalui pendidikan, pengajian tafsir, penulisan dan pembentukan generasi pendakwah.
Satu lagi dimensi yang tidak boleh dipisahkan daripada sosok Abdul Hadi ialah sumbangan akademik dan penulisannya.
Beliau bukan sekadar ahli politik yang mempunyai pendidikan agama, tetapi seorang ulama yang terus mengajar dan menghasilkan karya ketika berada di tengah-tengah gelanggang politik.
Sehingga sekarang terdapat lebih 150 karya berbeza telah dihasilkan oleh beliau meliputi bidang akidah, tafsir, hadis, fiqh harakah, fiqh siyasah, pemikiran Islam serta politik dan hubungan antarabangsa.
Antara karya yang cukup dikenali ialah Muqaddimah Aqidah Muslimin, siri Ensiklopedia Aqidah Muslimin, Fiqh al-Harakah, karya-karya pemikiran Islam dan politik, siri Syarah Hadis Riyadhus Solihin, Fiqh Siasah Khulafa’ al-Rasyidin, Warkah Buat Anak Muda serta pelbagai karya tafsir al-Quran.
Muqaddimah Aqidah Muslimin, misalnya, telah diterbitkan seawal 1985. Ini menunjukkan tradisi penulisan Abdul Hadi sudah berjalan hampir sepanjang tempoh penglibatan aktifnya dalam politik Malaysia.
Lebih penting ialah sumbangan beliau dalam bidang tafsir. Kajian akademik mengenai sumbangan Abdul Hadi dalam peradaban tafsir Malaysia merekodkan sebanyak 24 karya terbitan berkaitan tafsir, termasuk pelbagai edisi, berdasarkan dokumentasi sehingga 2018.
Antara yang telah diterbitkan ialah tafsir Surah al-Baqarah, al-Kahfi, al-Hujurat, al-Saff, Yasin, al-Hasyr, Luqman dan al-Fil.
Sebahagiannya lahir daripada kuliah tafsir yang kemudiannya disusun, disunting dan diterbitkan dalam siri At-Tibyan.
Apa yang menarik, kajian terhadap metodologi tafsir beliau mendapati pendekatannya menggabungkan unsur tafsir bi al-ma’thur dan bi al-ra’yi, dengan merujuk sumber-sumber tafsir muktabar tetapi disampaikan menggunakan bahasa yang boleh difahami masyarakat awam.
Kajian juga mencatatkan bahawa tafsir Abdul Hadi sering menghubungkan ayat al-Quran dengan persoalan masyarakat dan isu semasa.
Dengan kata lain, tafsir beliau bukan sekadar menghuraikan bahasa dan riwayat, tetapi cuba membawa petunjuk al-Quran berinteraksi dengan realiti kehidupan.
Kemuncak kepada perjalanan keilmuan yang panjang ini ialah Tafsir al-Tibyan. Projek besar ini menghimpunkan kuliah tafsir lengkap 30 juzuk al-Quran yang disampaikan Abdul Hadi di Masjid Rusila selama lebih empat dekad.
Ia dirancang dalam 15 jilid, merangkumi keseluruhan 30 juzuk, dan menjadi usaha mendokumentasikan secara sistematik satu tradisi pengajian yang sebelum ini hidup melalui kuliah mingguan, rakaman, tulisan di Harakah dan penerbitan tafsir surah-surah tertentu.
Jika mahu memahami mengapa Tafsir al-Tibyan mempunyai nilai tersendiri, kita perlu melihat latar kelahirannya.
Ini bukan tafsir yang disempurnakan oleh seorang sarjana yang seluruh kehidupannya berada dalam perpustakaan atau bilik kuliah.
Ia lahir daripada seorang ulama yang pada masa yang sama hidup di tengah-tengah perjuangan politik, dakwah, pendidikan, pentadbiran kerajaan, Parlimen, konflik parti, kerjasama politik dan pergolakan dunia Islam.
Di sinilah Tafsir al-Tibyan mempunyai wataknya yang tersendiri. Ia merupakan tafsir daripada nafas seorang ulama yang membaca al-Quran sambil berhadapan secara langsung dengan realiti politik dan masyarakat.
Abdul Hadi bukan sahaja menghuraikan persoalan pemerintahan, keadilan, kepimpinan, perjuangan, hubungan antara umat, kemasyarakatan dan kuasa secara teoritis; sebahagian besar persoalan itu dilaluinya sendiri sepanjang puluhan tahun dalam politik.
Pengalaman tersebut memberikan dimensi haraki dan semasa kepada tafsirannya.
Maka Tafsir al-Tibyan boleh dianggap sebagai kemuncak sumbangan akademik Abdul Hadi: bukan sekadar sebuah buku tafsir, tetapi dokumentasi perjalanan ilmu seorang ulama-politikus selama lebih 40 tahun.
Ia mempertemukan mimbar Masjid Rusila dengan pengalaman Parlimen, dakwah dengan siyasah, teks wahyu dengan perubahan masyarakat, serta ilmu dengan pengalaman perjuangan yang sebenar.
Atas sebab itu, legasi Abdul Hadi tidak lengkap jika beliau hanya dikenang melalui jawatan Presiden Pas, Menteri Besar Terengganu, Ahli Parlimen atau percaturan politik yang disertainya.
Di belakang perjalanan politik itu terdapat puluhan karya, ribuan jam kuliah dan sebuah usaha tafsir 30 juzuk yang sedang diwariskan kepada generasi seterusnya.
Tafsir al-Tibyan mungkin akhirnya menjadi antara peninggalan beliau yang lebih panjang usianya daripada mana-mana jawatan politik yang pernah disandangnya.
Dimensi sosial pula dapat dilihat melalui budaya kebajikan yang berkembang dalam Pas di bawah kepimpinannya.
Ketika bencana banjir, misalnya, beliau mengarahkan kekuatan Lajnah Kebajikan, Jabatan AMAL, Briged Muslimat dan NGO berkaitan digerakkan melalui KHIDMAT Malaysia bagi membantu mangsa tanpa menjadikan bantuan bencana sekadar kegiatan politik.
Lebih menarik ialah dimensi antarabangsa. Abdul Hadi pernah menjadi Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia antara 2014 hingga 2018 di samping mempunyai penglibatan dengan beberapa rangkaian gerakan dan institusi Islam antarabangsa.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah antara 2020 hingga 2022.
Kedudukan-kedudukan ini meletakkan beliau dalam jaringan perbincangan umat yang jauh melampaui politik Malaysia.
Dalam krisis hubungan Qatar dengan beberapa negara Arab pada 2017, misalnya, Abdul Hadi menyeru dunia Islam melihat bahaya perpecahan sesama sendiri dan kembali mencari titik penyatuan.
Dalam isu Palestin pula pendiriannya amat konsisten. Pada 2025 beliau menyokong pendirian Kesatuan Ulama Islam Sedunia mengenai Gaza serta menyeru umat Islam meningkatkan bantuan kemanusiaan, sumbangan dan tekanan antarabangsa bagi mempertahankan rakyat Palestin.
Di sinilah ukuran terhadap Abdul Hadi sebagai tokoh penyatuan ummah perlu dibuat secara lebih luas.
Beliau bukan tokoh tanpa kontroversi. Politik yang panjang tentunya menghasilkan kawan dan lawan, kejayaan dan kegagalan, kerjasama yang terbentuk serta kerjasama yang akhirnya pecah tetapi menilai usaha penyatuan hanya berdasarkan sama ada sesuatu gabungan politik kekal selama-lamanya juga tidak tepat.
Apa yang lebih penting ialah kesediaan untuk merapatkan pihak yang pernah bermusuhan apabila terdapat ruang untuk bermuafakat.
Atas rekod ini, beliau wajar dinobatkan sebagai salah seorang tokoh utama yang menjadikan agenda penyatuan ummah sebagai tema penting politik Islam Malaysia kontemporari.
*Profesor Madya Dr Aminurraasyid Yatiban ialah mantan Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis; Institute of Excellence for Islamicjerusalem Studies di Universiti Utara Malaysia.