Pelajar Tingkatan Dua maut terkena renjatan elektrik

Iklan
Mohamad Amiruddin Anwar Md Azam, 14

KOTA BHARU - Seorang pelajar Tingkatan Dua maut selepas terkena renjatan ketika cuba mengambil mata kail yang tersangkut pada wayar elektrik menggunakan galah besi di Kampung Langgar di sini pada Ahad.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa, Mohamad Amiruddin Anwar Md Azam, 14, dikatakan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Iklan
Iklan

Sementara itu, anak sepupunya, Eizzrayyan Riduan, 10, yang juga terkena renjatan sama sedang dirawat di HRPZ II.

Norhabibi menunjukkan gambar arwah Mohamad Amiruddin Anwar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Langgar, Kota Bharu pada Isnin. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Iklan

Ibunya, Norhabibi Jaafar, 52, berkata, sebelum kejadian Mohamad Amiruddin Anwar sempat mengikutnya mengambil adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar pada jam 4.30 petang Ahad.

"Kemudian apabila tiba di rumah, saya masuk ke bilik untuk solat Asar. Ketika itulah dia bersama adik bongsunya, Azamuddin Azwa, 10, dan anak sepupunya, Eizzrayyan keluar menaiki basikal.

Iklan

"Memang hobi arwah serta anak sepupunya memancing setiap petang. Saya dimaklumkan oleh Azamuddin Azwa, ketika mereka mengayuh basikal abangnya terlihat mata kail tersangut di wayar elektrik," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Isnin.

Mangsa, Mohamad Amiruddin Anwar Md Azam, 14, dikatakan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Menurut dia, Mohamad Amiruddin Anwar telah patah balik ke rumah yang hanya terletak 100 meter dari lokasi kejadian untuk mengambil galah besi yang digunakan untuk mengait buah.

Ujarnya, anak sulungnya itu dikatakan telah mengait mata kail tersebut dan terkena renjatan elektrik.

"Azamuddin Azwa melihat depan mata abangnya kaku sambil memegang galah tersebut. Kemudian Eizzrayyan yang berada berhampiran telah memegang Mohamad Amiruddin Anwar dan terkena renjatan yang sama.

"Mereka berdua kemudian tersemban jatuh ke dalam tali air. Melihat kejadian itu Azamuddin Azwa terus berlari meminta bantuan saudara mara kami serta datang memberitahu saya memaklumkan abangnya terkena renjatan elektrik," katanya.

Seorang pelajar Tingkatan Dua maut selepas terkena renjatan ketika cuba mengambil mata kail yang tersangkut pada wayar elektrik menggunakan galah besi di Kampung Langgar, Kota Bharu pada Ahad. Foto:Tular

Ibu tunggal kepada tiga orang anak itu memberitahu, setibanya di lokasi dia hanya mampu berdoa dan ketika itu sudah merasa yang hayat anak sulungnya sudah tidak lama.

Ujarnya, kebetulan ada seorang doktor yang tinggal berhampiran telah cuba membantu dengan melakukan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR) sebelum dibawa ke HRPZ II.

"Melihat keadaannya ketika itu, saya sudah reda. Sehinggalah dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

"Arwah seorang yang pendiam dan dia sangat suka memancing. Dia selalu bawa pulang ikan yang berjaya dipancing namun disebabkan saya tidak makan ikan darat, semuanya diberikan kepada sanak saudara," katanya.

Menurut dia, jenazah Mohamad Amiruddin Anwar yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail telah dikebumikan jam 9.20 pagi di Tanah Perkuburan Islam Mukim Langgar di sini.