AUSTIN – Gara-gara menghamburkan kata-kata kesat dan bertindak ganas dalam pesawat American Airlines, seorang lelaki terpaksa diikat pada kerusi menggunakan pengikat kabel dan pita pelekat oleh dua penumpang lain.
Penerbangan yang dalam perjalanan ke Newark dari Dallas pada Khamis lalu itu kemudiannya dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Thurgood Marshall Baltimore/Washington.
Pihak Berkuasa Pengangkutan Maryland mengenal pasti penumpang berkenaan sebagai Arthur Lundeen, 67.
Saksi kejadian dikenali sebagai Richard O’Lenick, 53, berkata, Lundeen mula mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman terhadap seorang pramugari.
Sejurus pesawat mendarat, pelaku dibawa keluar oleh pihak berkuasa. Menurut rekod mahkamah, dia didakwa atas dua kesalahan ringan iaitu serangan tahap kedua dan berkelakuan tidak senonoh.
Lundeen dari Tucson, Arizona itu bagaimanapun mengetepikan hak untuk mendapatkan peguam ketika prosiding mahkamah dan dibebaskan atas jaminan peribadi.
Dalam satu kenyataan, American Airlines turut mengesahkan kejadian berkenaan. Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memaklumkan mereka sedang menjalankan siasatan terhadap insiden itu.
Menurut FAA, lebih 1,160 kes penumpang dilaporkan bertindak agresif atau mencetuskan kekecohan setakat ini.
Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding ketika kes seumpama itu memuncak pada 2021 pada peringkat awal pandemik Covid-19 dengan sebanyak 5,973 kes direkodkan. - Agensi