PARIS - Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengecam Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan beberapa pemimpin asing kerana mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai 'bodoh' berhubung rusuhan yang melanda negaranya.
Menurut laporan The Guardian pada Khamis, Macron mendakwa pemimpin asing sengaja menggunakan ketegangan di Perancis bagi meraih sokongan politik menjelang pilihan raya masing-masing.
Kecaman itu menyusul selepas Trump menyalahkan pendatang, golongan jihad dan komunis sebagai punca keganasan yang tercetus daripada demonstrasi membantah kenaikan kos sara hidup.
Macron berkata, manipulasi maklumat selepas rusuhan hujung minggu lalu menyebabkan pelbagai dakwaan tidak berasas tersebar, termasuk daripada pemimpin negara asing.
"Perkara itu mencetuskan komen yang bukan sahaja tidak boleh diterima, malah bodoh daripada ramai pihak termasuk pemimpin asing," katanya ketika lawatan ke Doha, Qatar.
Ketika ditanya sama ada kenyataannya merujuk kepada Trump, Macron menjawab:"Antara yang dimaksudkan."
Beliau turut mendakwa terdapat penyebaran imej janaan kecerdasan buatan (AI) yang menggambarkan kejadian yang sebenarnya tidak berlaku di Perancis.
"Dakwaan bahawa negara kami diserang gerombolan pendatang dan golongan Islamis adalah sama sekali tidak benar," tegasnya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut dikritik selepas mendakwa Perancis berdepan 'pencerobohan Islam ekstrem'.
Rusuhan yang tercetus susulan demonstrasi kos sara hidup hujung minggu lalu menyebabkan kegiatan rompakan dan keganasan di beberapa bandar termasuk Paris, Marseille, Lyon dan Limoges.
Bangunan dewan bandar raya Limoges turut mengalami kerosakan serius akibat kebakaran.
Susulan itu, pihak berkuasa mengumumkan larangan demonstrasi di beberapa kawasan utama Paris pada Khamis, termasuk berhampiran Istana Elysee, bangunan Parlimen, Muzium Louvre dan Champs-Elysees.
Kerajaan turut merancang memperkukuh kawalan keselamatan menjelang demonstrasi baharu yang dijadualkan pada Sabtu.
Macron memberi amaran bahawa pihak yang cuba mencetuskan kekacauan sekali lagi akan dihalang, namun menegaskan Perancis belum memerlukan pengisytiharan darurat.
Sementara itu, Menteri Kehakiman, Gerald Darmanin berkata, seramai 2,500 individu telah ditahan sepanjang dan selepas rusuhan, dengan 174 dipenjarakan serta 917 lagi telah didakwa secara rasmi.
Krisis itu turut memberi tekanan kepada ekonomi Perancis apabila hasil bon kerajaan 10 tahun melepasi lima peratus pada Rabu, paras tertinggi sejak 2002.
Beberapa negara turut mengeluarkan nasihat perjalanan susulan kebimbangan terhadap keselamatan pelancong.
Kesatuan sekerja Perancis pula merancang mobilisasi nasional pada 5 November bagi mendesak penyelesaian terhadap tekanan kos sara hidup dan kemerosotan perkhidmatan awam. - Agensi