Prabowo arah pemantauan rapi, kesiapsiagaan susulan aktiviti Anak Krakatau

Iklan
Prabowo Subianto. Foto AFP

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan agensi kerajaan dan pasukan keselamatan supaya kekal bersiap sedia, memantau rapat perkembangan sekitar Gunung Anak Krakatau serta memastikan perlindungan dan bantuan yang diperlukan disediakan kepada orang ramai ketika gunung berapi itu masih aktif.

Beliau turut menggesa penduduk di Jakarta, Banten dan Lampung, yang beberapa kawasannya terjejas akibat abu gunung berapi, serta komuniti di sekitar Selat Sunda, lokasi Anak Krakatau, supaya kekal tenang dan berwaspada.

Iklan
Iklan

"Jangan menghampiri kawasan di sekitar Gunung Anak Krakatau dan patuhi sepenuhnya zon bahaya serta had jarak selamat yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di akaun Instagram rasminya pada Ahad.

Abu gunung berapi dari Anak Krakatau menyebabkan Indonesia menutup sementara lapan lapangan terbang, menjejaskan kira-kira 150,000 penumpang dan 467 penerbangan setakat Ahad.

Iklan

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) memaklumkan Anak Krakatau kekal sangat aktif dan aktivitinya berpotensi meningkat meskipun berlaku penurunan ketara dalam isyarat seismik gunung berapi yang direkodkan pada Ahad, dengan pemantauan diteruskan sepanjang masa.

Gunung berapi itu kekal pada Tahap III atau Siaga, iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia.

Iklan

Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Suharyanto berkata, operasi modifikasi cuaca akan dilaksanakan sehingga petang Ahad bagi membantu mengurangkan abu gunung berapi yang menjejaskan Jakarta dan kawasan sekitarnya.

Prabowo turut menggesa penduduk yang terjejas akibat abu gunung berapi supaya memakai pelitup muka atau alat perlindungan pernafasan lain dan mengurangkan aktiviti di luar rumah apabila abu tebal, selain mematuhi arahan pegawai kesihatan dan pihak berkuasa wilayah.

Presiden itu berkata, beliau akan terus memantau situasi itu dengan rapi, menerima laporan terkini daripada pihak berkuasa berkaitan serta mengambil sebarang langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan orang ramai. - Bernama