IPOH - Pasukan bomba sedang mengumpul maklumat lengkap berhubung kejadian enam individu dilaporkan hilang selepas memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang pada 29 Ogos lepas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 6.31 petang Ahad.
"Pusat Gerakan Operasi JBPM Perak sedang mengumpul maklumat lengkap berkaitan kejadian itu sebelum penyelarasan dibuat bersama agensi kerajaan lain bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan enam individu termasuk empat ahli keluarga dan dua malim gunung itu daripada ahli keluarga kumpulan berkenaan hari ini.
Ahli keluarga mangsa yang berada di Selangor memaklumkan kehilangan itu selepas empat individu terbabit gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan pada 3 September.
Sik berkata, hasil semakan dengan Jabatan Perhutanan mendapati hubungan terakhir dengan kumpulan itu menunjukkan mereka berada di kawasan hutan Perak sebelum hubungan terputus.
Beliau berkata, kumpulan itu memasuki hutan melalui Pos Dakoh dan dijadualkan keluar di Pos Kemar, Perak. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Terputus hubungan, budak 9 tahun antara enam pendaki dikhuatiri hilang
Enam termasuk empat sekeluarga, dua malim gunung dikhuatiri hilang di hutan