'Kena berjimat, tidak tahu sampai bila kami di sini' - Rakyat Malaysia terkandas di Jakarta

Iklan
Nurul Najwa (kanan) bersama suami dan anak ketika melancong ke Bandung.

SHAH ALAM -"Tidak tahu sampai bila kami perlu berada di sini, jadi kena berjimat dan jangan boros."

Demikian luahan seorang rakyat Malaysia yang terkandas di Indonesia susulan pembatalan penerbangan akibat letusan Gunung Anak Krakatau.

Iklan
Iklan

Nurul Najwa Abu Bakar, 27, berkata, dia bersama keluarganya kini menginap di sebuah hotel sementara menunggu keadaan kembali pulih dan penerbangan pulang dapat diteruskan.

"Kami datang ke Indonesia selama empat hari semata-mata mahu pergi ke Bandung bersama keluarga.

Iklan

"Namun, apabila dimaklumkan penerbangan pulang kami dibatalkan, kami terpaksa mencari hotel sementara.

"Pagi tadi memang jenuh hendak mencari hotel tetapi alhamdulillah dapat yang tidak jauh dari lapangan terbang, kira-kira 30 minit," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Letusan Gunung Anak Krakatau yang berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan abu vulkanik tersebar dan lapan lapangan terbang menggantung sementara operasi penerbangan.

Gangguan itu menjejaskan operasi penerbangan domestik dan antarabangsa, termasuk laluan yang menghubungkan Jakarta dengan Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, Sydney, Seoul/Incheon, Doha dan Amsterdam.

Nurul Najwa berkata, setakat ini lebih RM200 dibelanjakan untuk penginapan, manakala kira-kira RM30 lagi untuk makan dan minum.

"Kami sudah dapat tarikh penerbangan baharu iaitu pada Selasa jam 11.15 pagi. Jadi kos tersebut mungkin meningkat.

"Kalau kami berjimat mungkin tidak ada masalah, jadi jangan boros," katanya.

Menurutnya, antara cabaran terbesar dihadapinya ketika ini ialah mendapatkan penginapan dan menguruskan penjadualan semula penerbangan dalam keadaan tidak menentu.

"Pening juga hendak uruskan hotel secara tergesa-gesa dan penjadualan semula penerbangan tetapi buat masa sekarang semuanya sudah selesai.

"Bila jadi isu seperti ini, urusan pekerjaan di Malaysia akan terjejas. Semestinya saya kena ambil cuti kecemasan (EL) berikutan masih tidak dapat pulang mengikut jadual asal," katanya.

Nurul Najwa berkata, dia akan menunggu sehingga Selasa ini sebelum membuat keputusan seterusnya.

"Masa awal-awal warga Threads beritahu dekat lapangan terbang Yogyakarta buka lagi, jadi kalau Selasa ini masih tak buka dekat Soekarno Hatta, baru saya ke sana.

"Cuma baru tadi dapat kemas kini, sana pun ada masalah. Jadi mungkin saya ke Surabaya kalau sana buka.

"Saya tak nak pergi sekarang dan beli tiket baharu kerana mahal. Takut kalau dah bayar, sana pula tutup. Jadi kami tunggu sajalah di sini sampai keadaan reda," katanya.

Dalam pada itu, Nurul Najwa berharap keadaan bencana dapat dikawal dan mereka sekeluarga dapat pulang ke Malaysia dengan selamat.