Bapa disyaki amang seksual dua anak kandung ditahan

Iklan
Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandungnya berusia 16 dan 17 tahun. Gambar hiasan

​BESUT - Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandungnya berusia 16 dan 17 tahun.

​Perbuatan terkutuk lelaki berusia 50 tahun itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Iklan
Iklan

​Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, suspek ditahan di Pasir Akar, di sini kira-kira jam 12.40 tengah malam pada Ahad sejurus menerima laporan daripada mangsa.

​"Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Besut untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan reman sehingga 12 September depan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

​Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

​"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dihukum sebat.

Iklan

​"Pihak polis memandang serius setiap laporan mendedahkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana individu yang terlibat," tegasnya.

​Dalam pada itu, Md Sani turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa.

​"Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keselamatan, privasi dan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara serta tidak menjejaskan proses siasatan," katanya.