Enam termasuk empat sekeluarga, dua malim gunung dikhuatiri hilang di hutan

Iklan
Enam individu termasuk empat ahli keluarga dan dua malim gunung dikhuatiri hilang selepas memasuki hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang pada 29 Ogos lalu. Gambar hiasan - Foto Bernama

KOTA BHARU - Enam individu termasuk empat ahli keluarga dan dua malim gunung dikhuatiri hilang selepas memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang, 29 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan itu daripada ahli keluarga kumpulan berkenaan di Selangor hari ini selepas mereka gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan pada 3 September.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, hasil semakan dengan Jabatan Perhutanan mendapati hubungan terakhir dengan kumpulan itu menunjukkan mereka berada di kawasan hutan Perak sebelum hubungan terputus.

"Pada masa ini kita sedang berurusan dengan pihak Perak untuk mendapatkan pengesahan kerana berdasarkan hubungan terakhir, mereka sudah berada di kawasan hutan Perak dan bukan lagi di kawasan Kelantan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Iklan

Sik berkata, kumpulan berkenaan mempunyai permit memasuki kawasan hutan dan menggunakan khidmat dua malim gunung.

Beliau berkata, kumpulan itu memasuki hutan melalui Pos Dakoh dan dijadualkan keluar di Pos Kemar, Perak.

Iklan

"Buat masa ini kita belum menjalankan operasi di sebelah Kelantan kerana semakan menunjukkan mereka telah melepasi sempadan negeri. Kita hanya bersiap sedia sekiranya terdapat perkembangan atau pengesahan bahawa mereka berada di kawasan Kelantan,” katanya.

Sik berkata, polis turut menyemak maklumat berkaitan kenderaan yang digunakan kumpulan itu, termasuk kemungkinan mereka menggunakan kenderaan sewa atau pengangkutan disediakan malim gunung. - Bernama