SHAH ALAM - Istilah ‘tunggang agama’ dalam politik sewajarnya digantikan dengan terma yang lebih baik iaitu berpolitik berpedomankan atau menggunakan agama bagi mengelakkan kekeliruan dan pertembungan kefahaman dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, penggunaan istilah berkenaan penting bagi memastikan perbezaan kefahaman terhadap sesuatu istilah tidak membawa kepada pertikaian yang tidak sepatutnya.
Menurut beliau, ini kerana istilah tunggang mempunyai dua maksud iaitu negatif dan positif.
"Dalam pertembungan kefahaman bagi istilah ini, seeloknya kita menggunakan terma yang lagi baik iaitu berpolitik berpedomankan agama atau berpolitik menggunakan agama dan bukannya berpolitik dengan menunggang agama," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ketua Pemuda Pas Kedah, Ilyas Ahmad ketika berucap dalam Muktamar Pas ke-72 di Kota Bharu, Kelantan dilapor berkata, parti itu tidak terkesan dengan label 'penunggang agama' yang diberikan musuh politiknya.
Malah katanya, Pas akan terus 'menunggang agama' demi kepentingan orang Melayu dan agama Islam.
Mengulas lanjut, Khairuddin yang juga bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat berkata, prinsip Islam yang perlu disepakati ialah setiap Muslim bertanggungjawab menjalani kehidupan berpedomankan agama termasuk dalam berpolitik dan berparti politik.
Malah katanya, berpolitik juga hendaklah dengan tujuan menegakkan agama.
"Berpolitik tanpa agama akan menjadikan politik tersisih daripada pertimbangan dosa dan pahala. Ini tidak wajar berlaku pada seorang muslim yang berpolitik," katanya.
Beliau dalam masa sama turut menyeru semua pihak bergerak ke arah politik harmoni dalam kepelbagaian parti orang Islam ketika ini.