MELAKA – Barisan Nasional (BN) dan Pas akan berkongsi pentas sama bagi mengumumkan calon masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengumuman itu akan dibuat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
“Insya-ALLAH di pentas sama dan di dewan yang sama kita akan umumkan 21 kerusi ditandingi BN, mereka (Pas dan rakan strategik) akan umumkan tujuh kerusi,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN bagi Pilihan Raya Umum Negeri Melaka Ke-16 di MITC di sini pada Khamis.
Rabu lalu, BN mengesahkan kerjasama dengan Pas bagi menghadapi PRN Melaka dengan rundingan mengenai pengagihan kerusi antara kedua-dua pihak telah dimuktamadkan.
BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pas bersama rakan gabungannya akan bertanding di tujuh kerusi.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid mengesahkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, menggantikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Jadi, saya mengesahkan tadi, surat sudah diperakukan dan tidak ada orang lain, beliau (Ab Rauf),” katanya.
Mengulas hasil mesyuarat, Ahmad Zahid berkata, perbincangan bersama parti komponen BN telah selesai, manakala pelarasan tertentu akan dibuat berdasarkan kesesuaian kawasan dan peluang kemenangan calon.
Katanya, perbincangan dengan rakan strategik politik pula sedang menunggu hasil mesyuarat mereka pada malam Khamis sebelum segala urusan dimuktamadkan.
“Segala-galanya telah dimuktamadkan mengikut jumlah kerusi yang kita bersetuju bersama,” katanya.