21 maut dalam kemalangan bas di Cape Verde

Iklan
Kemalangan berlaku di jalan antara Cha das Caldeiras dan Campanas de Cima, di kawasan tanah tinggi utara perbandaran Sao Filipe. Foto Instagram iamcvbp

PRAIA - Sekurang-kurangnya 21 orang maut manakala beberapa yang lain cedera selepas sebuah bas dipercayai terbabas sebelum terjunam ke cerun yang curam di Pulau Fogo, Cape Verde pada lewat Sabtu, menurut seorang pegawai tempatan, lapor Xinhua.

Presiden Cape Verde, Jose Maria Neves pada awalnya melaporkan sekurang-kurangnya 10 kematian sebelum mengemas kini angka korban kepada 21 orang menerusi media sosial.

Iklan
Iklan

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Menurut agensi berita tempatan Inforpress, kemalangan itu berlaku di jalan antara Cha das Caldeiras dan Campanas de Cima, di kawasan tanah tinggi utara perbandaran Sao Filipe, apabila bas berkenaan terbabas sebelum terjunam kira-kira 30 meter ke cerun yang curam.

Iklan

Kebanyakan penumpang bas dilaporkan merupakan golongan muda, terutamanya pelajar sekolah menengah dari Curral Grande dan Ponta Verde.

Pemandu bas itu turut terkorban, menurut Inforpress.

Iklan

Pihak berkuasa pendidikan tempatan menjelaskan bahawa pelajar terbabit sedang menyertai satu lawatan yang bukan dianjurkan oleh pihak sekolah, sebaliknya merupakan acara tahunan yang diatur sendiri oleh pemandu bas berkenaan untuk pelajar yang dibawanya sepanjang tahun persekolahan.

Ahli Majlis Perbandaran Sao Filipe yang bertanggungjawab bagi perlindungan awam, Joao Jose Canuto berkata, operasi menyelamat masih diteruskan di lokasi yang sukar diakses dan memberi amaran bahawa angka korban mungkin terus meningkat.

Angka muktamad korban dijangka disahkan selepas operasi menyelamat dan proses pengecaman mangsa selesai. Punca kemalangan masih dalam siasatan. - Bernama-Xinhua