SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang wajib disiasat segera susulan kenyataannya mendakwa wakil Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pernah mengajukan soalan mengenai calon Perdana Menteri yang akan diketengahkan oleh parti itu dalam satu pertemuan di kedutaan berkenaan.
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, dua pemimpin kanan Pas iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut disebut Ahli Parlimen Marang itu juga perlu dikenakan tindakan sama memandangkan ia dakwaan sangat serius.
Beliau yang juga Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) turut mempersoalkan tindakan Abdul Hadi yang tidak melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa, sebaliknya memilih berbuat demikian di Muktamar Pas ke- 72 di Kota Bharu pada Sabtu.
"Jika benar wujud cubaan campur tangan asing untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia, ia bukan bahan untuk dibanggakan di pentas politik. Ia adalah perkara yang sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana menyentuh keselamatan dan kedaulatan negara.
"Dakwaan Haji Hadi adalah sesuatu yang sangat serius dan Haji Hadi serta beberapa nama yang disebutkan olehnya wajib segera disiasat. Adakah keselamatan dan kedaulatan negara suatu yang Pas boleh dan telah dikompromikan selama ini?" soalnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Abdul Hadi pada Sabtu mendakwa seorang wakil kedutaan AS pernah bertanya kepada beliau mengenai perkara tersebut.
Beliau mendakwa, pertemuan berkenaan berlaku ketika Pas masih menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat, sekitar waktu lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama ke Malaysia.
Susulan itu, Kedutaan AS di Kuala Lumpur tampil menafikan pernah cuba menentukan kepemimpinan politik Malaysia, sambil menyifatkan sebarang dakwaan sebaliknya sebagai palsu.
Dalam satu kenyataan, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS, David H Gamble Jr berkata, AS tidak pernah berusaha untuk menentukan siapa yang memimpin Malaysia.
Mengulas lanjut, Aiman Athirah menegaskan, hakikat bahawa Kedutaan AS perlu mengeluarkan penjelasan berhubung dakwaan campur tangan politik yang didakwa Abdul Hadi juga adalah sesuatu yang amat memalukan negara di peringkat antarabangsa.
Ujarnya, politik Malaysia tidak boleh dibina atas teori konspirasi, persepsi atau tuduhan separuh masak yang semalam ini menjadi budaya Pas.
"Belum pun reda semangat sambutan Merdeka, rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu dakwaan serius yang melibatkan kuasa asing dan politik dalaman negara.
"Dakwaan seperti ini bukan perkara kecil kerana ia menyentuh soal kedaulatan negara, integriti proses demokrasi dan maruah politik Malaysia," katanya.