Mesyuarat tergempar PN: 'Dulu tak dijemput mengadu, kini dijemput ragu-ragu' - Afnan

Iklan
Afnan Hamimi

SHAH ALAM – Pas mempersoalkan pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebelum ini mengadu kerana tidak dijemput bermesyuarat, namun kini mempertikaikan pula mesyuarat tergempar Perikatan Nasional (PN) walaupun sudah dijemput.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Bersatu kini membangkitkan kebimbangan mengenai implikasi perundangan sekiranya menghadiri mesyuarat tersebut, sedangkan alasan sama digunakan PN sebelum ini ketika tidak menjemput parti berkenaan.

Iklan
Iklan

Katanya, Bersatu sebelum ini membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) selepas Setiausaha Agung (SUA) PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak menjemput parti itu menghadiri mesyuarat gabungan berkenaan.

“Hari ni, bila dijemput ke mesyuarat PN, Bersatu pulak ragu-ragu. Kononnya bimbang kalau hadir, ada implikasi undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Ahad mempersoalkan keabsahan mesyuarat tergempar PN yang dijadualkan berlangsung jam 8.30 malam ini di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur kerana bimbang sebarang keputusan dibuat membawa implikasi perundangan.

Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan pelaksanaan tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN sementara menunggu keputusan semakan kehakiman, namun RoS dan Menteri Dalam Negeri memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut pada Jumaat.

Iklan

Afnan menjelaskan, Takiyuddin sebelum ini meminta penjelasan bertulis mengenai keabsahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu susulan dakwaan empat Ahli Parlimen parti itu yang digantung bahawa kuorum badan berkenaan tidak mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, ketiadaan penjelasan bertulis menyebabkan Bersatu tidak dijemput menghadiri mesyuarat PN kerana dikhuatiri membawa implikasi perundangan ketika gabungan itu membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, susulan aduan Bersatu, RoS mengambil tindakan membatalkan pendaftaran PN sebelum gabungan itu membawa perkara berkenaan ke mahkamah.

Afnan berkata, keputusan mahkamah membolehkan PN meneruskan aktivitinya sementara menunggu sebarang keputusan baharu di peringkat rayuan, sekali gus mendorong Takiyuddin memanggil mesyuarat tergempar dengan turut menjemput Bersatu.

“Masa PN ragu-ragu dengan Bersatu, tak jemput hadir mesyuarat, Bersatu 'report' pada RoS.

“Orang ragu-ragu kat dia, tak boleh. Dia ragu-ragu kat orang, boleh,” sindirnya.

Beliau turut mempersoalkan pendirian Bersatu yang menurutnya tidak menerima keraguan dibangkitkan PN sebelum ini, tetapi kini menggunakan alasan sama apabila dijemput menghadiri mesyuarat.

“Abang nak apa sebenarnya? Tanya ja Bang. Jangan la 'report',” perlinya lagi.