SHAH ALAM - Jenazah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina di sini kira-kira jam 8.50 pagi Ahad.
Jenazah anak kedua daripada empat beradik itu tiba di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Denai Alam pada jam 6.05 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk proses pengebumian.
Bapanya, Mohamad Fellimal Mohd Sulanah, 50, berkata, pihak keluarga ketika ini memberi tumpuan untuk menguruskan segala urusan pengebumian anaknya terlebih dahulu.
"Selanjutnya nanti, beberapa pihak seperti UiTM dan agensi lain akan berhubung dengan saya. Buat masa ini, kami tidak ada sebarang perancangan kerana mahu selesaikan urusan ini dahulu.
"Insya-ALLAH, kami juga akan mengadakan majlis bacaan tahlil di surau berhampiran rumah," katanya pada Ahad.
Menurutnya, keluarga reda dengan pemergian Fadhlan Fakhry meskipun kejadian itu mengejutkan ahli keluarga.
"Reda, tetapi kebanyakannya seperti adik-beradik dan mak saudara memang terkejut.
"Arwah seorang yang aktif bersukan, saya sendiri selalu memantau dia dan ada memberikan nasihat supaya tidak terlalu berlebihan atau menggunakan fizikal secara berlebihan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Seorang peserta KKEC UiTM meninggal dunia, lapan lagi tidak sedar diri
Peserta KKEC 2026 meninggal dunia, UiTM laksana tindakan segera
'Anak saya rebah ketika hampiri garisan penamat' - Bapa peserta KKEC UiTM meninggal dunia
'Kami rakam banyak gambar, rupanya itu kenangan terakhir' - Bapa peserta KKEC UiTM meninggal dunia
Peserta KKEC UiTM meninggal dunia: Jenazah Fadhlan Fakhry selamat dikebumikan
KKEC UiTM: Dua peserta masih dirawat di ICU
KKEC UiTM: Beri bantuan, sokongan keluarga pelajar meninggal dunia - Zambry
Media sebelum ini melaporkan, Fadhlan Fakhry yang merupakan pelajar UiTM Kampus Seremban dilaporkan rebah ketika menyertai Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) di kampus UiTM Jengka, Pahang pada 4 September lalu.
Beliau kemudian menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 petang Sabtu.
Mengulas keadaan kesihatan anaknya sebelum kejadian, Mohamad Fellimal berkata, setakat pengetahuannya, Fadhlan Fakhry tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
"Setakat yang saya tahu, dia tidak pernah dimasukkan ke wad atau mempunyai sebarang masalah kesihatan khusus.
"Kebelakangan ini pun saya nampak dia sihat dan tidak ada masalah apa-apa," katanya.