SERDANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan bahawa peruntukan untuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan ditambah dalam Belanjawan 2027, seiring dengan prestasi cemerlang kementerian berkenaan yang membanggakan tahun ini.
Beliau berkata, komitmen itu juga selaras dengan peranan KPKM sebagai tonggak utama dalam memperkasakan sektor pertanian di negara ini.
"Sekadar perbincangan awal kita … saya sebutkan tadi beberapa tonggak dan ikhtiar baharu kementerian dan prorgam pertanian ini masih merupakan fokus dan saya percaya peruntukan itu harus ditambah sesuai dengan prestasi yang membanggakan," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak.
Anwar berkata, beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk meningkatkan dana bantuan kepada kementerian itu memandangkan langkah berkenaan akan memberikan faedah dan manfaat secara langsung kepada golongan petani, pesawah, peladang serta nelayan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan agar pertambahan peruntukan tersebut disusuli dengan tatakelola yang ketat, cermat dan berintegriti bagi mengelakkan sebarang ketirisan atau kebocoran dana.
Dalam pada itu, Anwar turut memuji kejayaan penganjuran MAHA 2026 yang mencatat pencapaian luar biasa dan rekod kehadiran tertinggi dalam sejarah, sekali gus membuktikan minat serta tumpuan mendalam rakyat terhadap sektor pertanian negara.
Beliau berkata, kejayaan itu diterjemahkan apabila MAHA merekodkan lebih 4.3 juta pengunjung dengan nilai jualan keseluruhan RM66.88 juta bagi edisi kali ini.
"Ternyata MAHA 2026 dengan pasukan hebat tahun ini mencatat kemajuan tertinggi dalam sejarah, tetapi kelainannya menarik perhatian kerana penyertaan peladang, petani, pelabur, pengusaha daripada pelbagai sektor industri pertanian dan penyertaan rakyat keseluruhannya," kata beliau.
MAHA edisi ke-14 berlangsung dari 28 Ogos dan menutup tirainya hari ini, membabitkan kira-kira 2,000 pempamer dan sasaran kehadiran lebih empat juta pengunjung.
Pameran itu merupakan platform utama sektor pertanian negara yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, usahawan serta institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi bagi mengetengahkan inovasi, teknologi dan peluang perniagaan dalam sektor agromakanan.- Bernama